PETALING JAYA: Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli menyifatkan budaya melabel dan serangan peribadi terhadap dirinya sebagai taktik lapuk golongan ahli politik yang kekurangan hujah serta fakta.
Rafizi berkata, gelaran Raja Formula yang sebelum ini digunakan sebagai senjata politik kini berevolusi menjadi Raja Bitter, namun hakikatnya berpunca daripada kegagalan pihak tertentu menjawab isu secara berfakta.
“Saya sudah masak kena kecam macam-macam. Raja Formula pun pernah, sekarang Raja Bitter pula. Masa saya dedahkan skandal zaman UMNO/Barisan Nasional (BN) jadi kerajaan dulu, kerana mereka tidak ada jawapan berfakta untuk menangkis fakta-fakta yang dikemukakan, mereka serang peribadi.
“Dari situlah pendekatannya, serang peribadi. Apa-apa yang saya utarakan, mereka tidak jawab hujah atau fakta tetapi hanya ulang serangan Raja Formula,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Menurut beliau, kaedah menyerang peribadi telah digunakan sejak beliau mendedahkan pelbagai skandal ketika era UMNO dan BN apabila pihak terlibat gagal mematahkan fakta yang dikemukakan.
Katanya, taktik sama kini digunakan oleh pihak dalam PKR sendiri termasuk golongan yang disifatkannya sebagai ceplos (tentera media siber) setiap kali pandangannya tidak selari dengan kepimpinan parti.
“Bila apa yang saya utarakan itu fakta atau hujah yang mereka tidak boleh sangkal, mereka serang peribadi. Selain serangan Raja Formula, mereka tambah satu lagi iaitu Raja Bitter, kononnya saya berdendam, sakit hati dan kecewa.
“Bitter la kononnya. Kaedah serang peribadi ini tidak berkesan untuk jangka panjang, terutamanya dengan pengundi atas pagar, lebih-lebih lagi pengundi Gen Z,” katanya.
Menurut beliau, strategi sedemikian bukan sahaja gagal, malah memakan diri apabila berdepan pengundi atas pagar yang tidak terikat dengan mana-mana parti dan sedar bahawa undi mereka adalah kuasa sebenar.
Rafizi turut menyindir pendekatan jentera penerangan kerajaan yang menganggap rakyat boleh dikawal seperti ahli parti, sedangkan pengundi khususnya generasi muda lebih kritikal dan bebas membuat keputusan.
“Bagi saya, kaedah paling baik dengan pengundi atas pagar dan Gen Z adalah memberikan pencerahan serta hujah yang berasaskan fakta,” katanya. – UTUSAN






