KUALA LUMPUR: Kedudukan Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang kekal sehingga penghujung sidang Dewan Rakyat.
Ketua Whip Perikatan Nasional, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, tiada notis rasmi diterima berhubung pertukaran jawatan berkenaan setakat ini.
“Kenyataan Yang Dipertua Dewan Rakyat sebelum ini jelas bahawa Hamzah masih lagi memegang kedudukan tersebut dan segala urusan di Dewan Rakyat berjalan seperti biasa.
“Tiada sebarang pemberitahuan daripada pihak pembangkang berhubung perubahan Ketua Pembangkang. Tambahan pula, sidang hanya berbaki dua hari sebelum berakhir,” katanya ketika sidang media di Parlimen hari ini.
Takiyuddin berkata, sebarang perubahan jawatan penting memerlukan proses peraturan Dewan Rakyat yang tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa.
Tambahnya, rundingan dalam kalangan Ahli Parlimen pembangkang boleh diteruskan sekiranya perlu, namun kedudukan semasa adalah sah dan tidak menimbulkan sebarang isu dari sudut peraturan.
Dalam pada itu, Takiyuddin menggesa semua pihak menghormati keputusan dan kedudukan yang telah ditetapkan bagi memastikan kelancaran perjalanan persidangan.
“Setakat ini, tiada sebarang perkembangan baharu berkaitan pertukaran Ketua Pembangkang dan kedudukan Hamzah kekal sehingga dimaklumkan sebaliknya secara rasmi,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan isu ketua pembangkang berbangkit susulan krisis dalaman Bersatu yang menyaksikan Hamzah yang juga Timbalan Presiden Bersatu dipecat dari parti itu.
Susulan itu, wujud desakan dalam Bersatu sendiri yang menuntut perubahan jawatan ketua pembangkang, namun mengikut amalan pemilihan biasa, jawatan itu perlu diputuskan secara konsensus oleh ahli-ahli Parlimen pembangkang.
Pas ketika ini memiliki 43 Ahli Parlimen diikuti 25 wakil Bersatu yang kini terpecah kepada dua kumpulan yang menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Hamzah. – UTUSAN






