PETALING JAYA: Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli menegaskan beliau tidak mempunyai keinginan peribadi untuk menjadi Perdana Menteri, berbeza dengan segelintir tokoh politik yang menjadikan jawatan tersebut sebagai matlamat utama dalam perjalanan politik mereka.
Beliau membuat perbandingan itu ketika diminta mengulas kemungkinan tindakan disiplin yang bakal dikenakan PKR terhadap dirinya serta beberapa ahli parti lain yang sehaluan dengannya.
Menurut Rafizi, beliau bersyukur kerana berasa selesa dengan kehidupannya dan tidak meletakkan jawatan politik sebagai satu keperluan mutlak dalam kehidupan.
“Saya bersyukur kerana saya boleh berasa gembira sekiranya dapat bersara dengan tenang seperti orang lain, memadai sekadar menjalani kehidupan yang aman.
“Justeru, saya tidak memikul beban seperti yang ditanggung oleh sesetengah pemimpin politik lain,” katanya menerusi hantaran di platform X.
Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata, seseorang ahli politik tidak seharusnya merasakan diri mereka terlalu diperlukan oleh negara atau masyarakat, sebaliknya perlu melihat peranan tersebut sebagai bentuk khidmat dan sumbangan kepada rakyat.
Katanya, tugas dalam politik juga wajar dianggap sebagai satu ‘pelaburan’ untuk kehidupan akhirat, bukan kerana masyarakat berhutang jasa atau terlalu bergantung kepada individu tertentu.
“Saya berasa cukup berpuas hati dengan kehidupan saya ketika ini dan masih dapat meluangkan masa untuk berjoging setiap hari demi menjaga kesihatan,” katanya. – UTUSAN






