KEPALA BATAS : Keputusan berkaitan pembelian tanah menggunakan dana zakat di Pulau Pinang dibuat melalui perbincangan dan persetujuan bersama oleh Jawatankuasa Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan bukannya secara individu.
Demikian ditegaskan oleh Timbalan Ketua Menteri I yang juga merupakan Yang Dipertua MAINPP, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid.
Sehubungan itu, beliau berkata, siasatan yang sedang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika ini tidak hanya terarah kepada beliau semata-mata, namun, turut melibatkan seluruh institusi MAINPP.
“Di MAINPP, keputusan yang berkait rapat dengan zakat, kita akan putuskan di peringkat jawatankuasa dan diangkat ke lembaga pengarah. Maka, keputusan yang dibuat itu adalah keputusan bersama yang dipengerusikan oleh saya. Maknanya juga, keputusan itu adalah keputusan bersama,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pentauliahan Amil Zakat Fitrah (Mapaf) dan sumbangan Ihya Ramadan Kerajaan Negeri Pulau Pinang Tahun 1447H/2026M yang berlangsung di Bertam di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad memberitahu, proses pembelian tanah adalah berdasarkan kepada keputusan lembaga pengarah zakat iaitu berkaitan dengan bantuan asnaf berhubung pembelian tanah dengan menggunakan dana tawakuf atau tanah lebihan yang diputuskan dalam mesyuarat MAINPP.
“Keputusan itu dibuat mengikut urus tadbir yang jelas dan yang baik. Cumanya, isu ditimbulkan seolah-olah untuk mewujudkan persepsi negatif sahaja,” katanya yang memberitahu, keputusan yang dicapai turut membabitkan persetujuan Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-Undang, Pegawai Kewangan Negeri selain 17 ahli MAINPP dan 15 ahli lembaga pengarah zakat.
Dalam pada itu, Mohamad memaklumkan bahawa beliau masih belum dipanggil pihak SPRM untuk membantu siasatan buat masa ini, namun, bersedia untuk memberikan kerjasama penuh sekiranya diperlukan.
Sebelum ini, SPRM dilaporkan telah membuka satu kertas siasatan terhadap seorang pegawai kanan kerajaan di Pulau Pinang kerana didakwa menyalah guna kuasa dalam urusan pembelian tanah menggunakan dana zakat.
Menurut sumber, kertas siasatan tersebut dibuka susulan pendedahan yang dilakukan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri itu semasa Sidang DUN, hujung tahun lalu.





