KANGAR: Kesalahan membuang puntung rokok adalah paling tinggi iaitu melebihi 80 peratus daripada 941 kes pembuangan sampah kecil yang direkodkan di tujuh negeri.
Rekod itu dilakukan dengan menggunapakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672), membabitkan kesalahan membuang puntung rokok di tempat awam.
Daripada jumlah itu, sebanyak 741 kes melibatkan individu tempatan manakala selebihnya warga asing.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Khalid Mohamed berkata, di peringkat awal pelaksanaan, terdapat pelbagai sisa didapati telah dibuang termasuk puntung rokok, botol minuman dan plastik makanan.
Katanya, bagaimanapun, selepas pendedahan berkaitan kesalahan pembuangan sampah kecil itu, masyarakat mula sedar yang tindakan itu dilarang sama sekali.
“Oleh sebab itu, sejak kebelakangan ini, kita mendapati hanya kes membuang puntung rokok sahaja yang kami temui,” katanya ketika ditemui Nexbyte di sini semalam.
Katanya, SWCorp hanya memberi fokus atas kesalahan kelakuan membuang puntung rokok di tempat awam dan bukan bertujuan bagi menangkap perokok.
“Kami juga amat berharap masyarakat dapat mengambil perhatian serius atas kesalahan membuang sampah kecil di tempat tidak dibenarkan,” katanya.
Beliau berkata, setakat ini, sebanyak 35 pemberitahuan kesalahan telah dikeluarkan oleh SWCorp di negeri ini.
Katanya, ia membabitkan individu-individu yang didapati melakukan kesalahan membuang sampah kecil di tempat yang tidak dibenarkan.
“Bagi kes seterusnya nanti, perbicaraan dijadual berlangsung pada 12 Mac depan,” katanya.
Terdahulu dua penjawat awam dan seorang pemandu jengkaut menjadi Orang Kena Saman (OKS) pertama di Perlis didenda dan diperintahkan menjalani khidmat masyarakat selama lapan jam atas kesalahan membuang sisa pepejal puntung rokok di tempat awam. – UTUSAN




