JOHOR BAHRU: Seorang wanita warga Indonesia didenda RM500 dan diarah menjalani perintah khidmat masyarakat selama enam jam selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan membuang sisa pepejal di tempat awam, awal tahun ini.
Jika gagal membayar denda, orang kena saman (OKS) akan dipenjara selama 15 hari dan sekiranya gagal menjalani perintah khidmat masyarakat dalam tempoh enam bulan, wanita itu boleh didenda antara RM2,000 hingga RM10,000 lagi.
Tertuduh, Anita Lukman, 49, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nor Aziati Jaafar.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa membuang puntung rokok dan botol minuman di tempat awam dan bukan dalam tong sampah pada pukul 12.41 pagi pada 1 Januari 2026 di Jalan Ibrahim Sultan, Stulang Laut.
Tertuduh didakwa mengikut Subseksyen 77A (1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 77A (2) dan sebagai tambahan boleh dikenakan perintah khidmat masyarakat bawah Subseksyen 77B akta sama.
Semasa prosiding, OKS yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan kerana merupakan ibu tunggal yang memiliki tanggungan dua anak masih bersekolah di negara asal, masing-masing berusia 15 dan lapan tahun.
Di mahkamah sama, seorang lelaki warga Bangladesh yang merupakan pekerja kilang turut dihadapkan bawah akta sama.
Bagaimanapun, pertuduhan terhadap tertuduh berusia 28 tahun itu ditangguhkan sehingga 28 Januari ini bagi mendapatkan khidmat jurubahasa Bangladesh. – UTUSAN





