KUALA LUMPUR: Mana-mana kumpulan yang mahu menyampaikan bantahan atau pandangan terhadap sesuatu isu perlu menggunakan saluran yang betul berbanding kaedah yang boleh menggugat ketenteraman awam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, terdapat platform-platform yang lebih sesuai untuk mengetengahkan sebarang cadangan berbanding melakukan perhimpunan.
Katanya, ketenteraman dan keselamatan awam tidak boleh digugat hanya kerana keinginan sekelompok yang mahu kerajaan mendengar isu dibawa mereka.
“Ada cara untuk diangkat sekiranya ada cadangan kepada kerajaan, supaya kerajaan mengambil tindakan terhadap apa yang dikatakan pembinaan rumah ibadah sebegini. Kerajaan akan mendengar melalui cara penyampaian atau kaedah yang sesuai untuk disampaikan.
“(Berbanding) melakukan tindakan-tindakan sebegini yang berbaur hasutan, inilah yang menjadi fokus kami di sini, kita tidak mahu ada hasutan atau ancaman terhadap keselamatan dan ketenteraman awam.” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Semalam, polis menahan seramai 19 individu kerana menyertai himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram berhampiran pusat beli belah, Sogo semalam.
Antara yang terlibat ialah penyelaras perhimpunan, Zamri Vinoth dan pengasas TanahMalaya.com, Tamim Dahari Abdul Razak yang direman bermula hari ini.
Perhimpunan itu diadakan untuk menyuarakan bantahan terhadap isu pembinaan rumah ibadat yang didakwa dibina secara haram dan semakin berleluasa negara ini, selain menuntut tindakan tegas pihak berkuasa.
Menjawab sama ada perhimpunan itu dilarang kerana lawatan rasmi Perdana Menteri India, Narendra Modi, Fadil berkata, ia merupakan antara pertimbangan polis.
“Kita tidak mahu dalam keadaan Malaysia menerima tetamu negara, pada masa sama keadaan sebegini berlaku di negara kita.
“Ini adalah antara yang kita pertimbangkan, dalam kita mengambil tindakan sehingga kita defuse (meredakan), supaya tidak ada perhimpunan yang berlaku,” katanya.
Katanya, menjaga ketenteraman dan keselamatan awam serta kesejahteraan bukan merupakan tanggungjawab polis sahaja tetapi semua pihak.
“Sekiranya ada berlaku yang dikatakan sedemikian maknanya pembinaan rumah ibadah di tanah-tanah yang tidak dibenarkan, pihak polis akan beri kerjasama penuh, contohnya mendapat perintah mahkamah untuk menyuraikan atau mengambil tindakan.
“Kita tidak akan sesekali berlengah, kita akan mengambil tindakan mengikut lunas undang-undang seperti mana yang diperuntukkan,” katanya. – UTUSAN






