KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan membuka platform rundingan rasmi dengan gerakan mahasiswa bagi memastikan tuntutan mereka benar-benar dipertimbangkan dan tidak terhenti sekadar penyerahan memorandum.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abdul Halim berkata, kementerian menerima memorandum mahasiswa secara terbuka dan melihatnya sebagai sebahagian daripada proses demokratik dalam memperkukuh sistem pengajian tinggi negara.
“Mahasiswa tidak perlu bimbang untuk bersuara, mengkritik atau melakukan advokasi kerana ia diiktiraf sebagai hak mereka, dengan atau tanpa Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).
“KPT akan memastikan setiap tuntutan mahasiswa didengar sepenuhnya sama ada melalui protes, penulisan atau rundingan formal,” katanya ketika menerima memorandum pemansuhan AUKU oleh Liga Mahasiswa Malaysia di hadapan bangunan Parlimen, hari ini.
Beliau juga menjemput semua kelompok mahasiswa, sama ada dalam sistem atau di luar sistem, untuk terlibat dalam proses perbincangan bagi mencapai reformasi pendidikan yang lebih substantif.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pula menyifatkan gerakan mahasiswa yang berhimpun sebagai bukti bahawa aktivisme pelajar di negara ini masih hidup dan relevan.
Katanya, memorandum kali ini unik kerana bukan sekadar menuntut pemansuhan AUKU, tetapi mencadangkan penggantian yang lebih progresif.
Syed Saddiq turut menyatakan kesediaannya untuk membahaskan isu tersebut di Parlimen dalam masa terdekat selepas meneliti dokumen yang diserahkan.
Beliau menolak dakwaan bahawa pemansuhan AUKU akan menyebabkan universiti tidak berperaturan, sebaliknya berpendapat undang-undang lain boleh menggantikan peranan akta tersebut.
Katanya, mahasiswa juga menuntut autonomi kewangan dan kebebasan akademik yang lebih luas tanpa campur tangan berlebihan daripada kerajaan. – UTUSAN






