KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) dijangka mengadakan Mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi (MT) sebelum akhir bulan ini, tertakluk kepada persetujuan tarikh yang dipersetujui bersama oleh semua presiden parti komponennya.
Timbalan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya masih dalam proses menentukan tarikh yang sesuai selepas menghubungi keempat-empat presiden parti anggota gabungan itu.
“Kami masih menentukan tarikh. Saya telah menghubungi semua presiden parti PN untuk mereka memaklumkan tarikh yang boleh dihadiri tanpa terkecuali.
“Setakat ini, saya belum menerima satu tarikh yang sesuai untuk semua, namun kami berharap mesyuarat itu dapat diadakan selewat-lewatnya dalam minggu ini atau sebelum bulan ini berakhir,” katanya pada sidang akhbar di Parlimen hari ini.
Menurut beliau, notis mesyuarat telah dihantar dua hari lalu dan pengesahan penerimaan telah diperoleh daripada parti-parti terlibat dengan sebahagian daripadanya sudah mengemukakan tarikh cadangan.
“Ada seorang presiden menyatakan tidak dapat hadir sebelum 19 haribulan manakala yang lain masih belum memberi maklum balas. Jadi saya perlu meneliti semua tarikh yang dicadangkan sebelum membuat keputusan,” katanya.
Terdahulu, Mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi (MT) PN yang dijadualkan pada 29 Januari terpaksa dibatalkan selepas presiden parti-parti komponen menerima surat dari Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menghadiri mesyuarat di kediamannya. – UTUSAN






