SEREMBAN: Negeri Sembilan akan menguruskan isu rumah ibadat yang didirikan di atas tapak tidak sah di negeri ini dengan cara yang terbaik tanpa menjejaskan keharmonian dalam kalangan rakyat.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, buat permulaan, beliau telah meminta semua pihak berkuasa berkaitan tanah dan kerajaan tempatan mendapatkan maklumat yang tepat dan menyeluruh berkaitan binaan yang didakwa didirikan secara tidak sah.
Katanya, maklumat tersebut akan dibentangkan dalam jawatankuasa berkaitan supaya satu tindakan yang tepat dapat dilaksanakan.
“Kita baru dapat arahan dan saya telah minta semua pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Pejabat Tanah mendapatkan maklumat di mana tempat yang berkenaan supaya satu penilaian menyeluruh dapat dilakukan.
“Biar mereka buat kajian dulu di mana kawasan rumah ibadat yang perlu diberi perhatian,” katanya kepada para pemberita selepas Majlis Amanat Menteri Besar Bersama Kepimpinan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Negeri Sembilan 2025-2027 di sini hari ini.
Sementara itu, Aminuddin dalam ucapannya pada majlis itu memberi peringatan tegas bahawa penyelewengan seperti yang pernah berlaku pada Dana Sejati Madani tidak boleh berulang.
“Dana tersebut adalah amanah rakyat untuk membangunkan komuniti dan bukan untuk kepentingan peribadi.
“Sekiranya berlaku sebarang penyelewengan, salah guna kuasa atau pelanggaran integriti, saya tidak akan teragak-agak untuk meminta SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) mengambil tindakan tegas, tanpa mengira jawatan atau kedudukan,” ujarnya.
Pada majlis itu, Aminuddin turut mengumumkan pemberian bantuan RM500 kepada pengerusi, setiausaha (RM300) dan bendahari (RM200) setiap JPKK sempena sambutan perayaan Tahun Baru Cina dan awal Ramadhan. – UTUSAN






