IPOH: Paras air Tasik Temengor kini mencatat 240 meter, iaitu lebih rendah berbanding paras biasa 245 meter berikutan keadaan cuaca kering dan taburan hujan yang berkurangan sejak beberapa bulan kebelakangan ini di kawasan tadahan hulu Sungai Perak.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, jumlah kemasukan air semula jadi ke dalam takungan Tasik Temengor adalah rendah, akibat taburan hujan yang berkurangan di kawasan tadahan hulu sejak beberapa bulan.
Menurutnya, kemasukan air yang rendah memberi kesan langsung kepada paras takungan dan perlu diurus secara berhemah bagi memastikan kelangsungan sistem sungai.
“Sehubungan itu, penting untuk ditegaskan bahawa tiada isu keselamatan empangan dan semua struktur empangan di Sungai Perak berada dalam keadaan selamat serta beroperasi seperti biasa.
“Empangan-empangan di sepanjang Lembangan Sungai Perak berperanan sebagai mekanisme pengurusan sumber air yang menyokong kelestarian aliran sungai, di samping memenuhi keperluan bekalan air dan penjanaan tenaga,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, pelepasan air dari empangan dilaksanakan berpandukan paras semasa takungan, keadaan hidrologi semasa serta pemantauan teknikal berterusan.
Beliau berkata, pelepasan dibuat secara berperingkat dan terkawal, dengan mengambil kira keseimbangan keseluruhan sistem empangan dan keperluan hiliran, supaya sumber air dapat dikekalkan secara mampan.
“Paras air yang lebih rendah ini memerlukan pengurusan pelepasan air secara lebih berhemah dan terkawal, bagi memastikan kelestarian sumber air Sungai Perak dapat dikekalkan, merangkumi keperluan bekalan air domestik, pertanian, alam sekitar serta penjanaan tenaga,” katanya.
Menurutnya, situasi ketika ini berpotensi memberi implikasi lebih luas kepada negeri ini seperti tekanan terhadap bekalan air mentah dan pengairan pertanian, khususnya di kawasan hilir dan kesan kepada sosioekonomi komuniti setempat yang bergantung kepada Sungai Perak.
Selain itu, ia juga boleh menyebabkan kemerosotan aktiviti eko-pelancongan di kawasan Tasik Temengor dan Tasik Raban akibat paras air yang rendah.
“Keadaan ketika ini juga memberikan risiko jangka sederhana terhadap jaminan bekalan air dan tenaga, termasuk sokongan kepada operasi penjanaan utama negara yang berkait rapat dengan kestabilan bekalan air negeri
“Sehubungan itu kami menyokong cadangan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Perak untuk mengemukakan permohonan pelaksanaan operasi pembenihan awan di kawasan Tasik Temengor.
“Usaha ini berpotensi memberi manfaat menyeluruh kepada Lembangan Sungai Perak dan Negeri Perak, termasuk dari aspek kelestarian sumber air, sokongan kepada keperluan hiliran, kesejahteraan sosioekonomi serta kestabilan bekalan air dan tenaga, selaras dengan pendekatan pengurusan sumber air secara bersepadu dan mampan,” katanya. – UTUSAN






