KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menunggu arahan selanjutnya daripada pejabat Peguam Negara berhubung tindakan susulan ke atas individu yang ditahan dalam serbuan di sebuah spa di Chow Kit, November lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kertas siasatan berkaitan perkara itu sudah dirujuk ke pejabat Peguam Negara pada 17 Disember 2025 untuk penelitian.
“PDRM membuka kertas siasatan membabitkan lelaki warga tempatan daripada jumlah 171 orang yang ditahan dalam serbuan pusat spa di Chow Kit mengikut beberapa peruntukan undang-undang,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman web rasmi Parlimen, hari ini.
Peruntukan itu membabitkan Seksyen 373 Kanun Keseksaan (Kesalahan memperdagangkan orang bagi tujuan pelacuran), Seksyen 5(2) Akta Penapisan Filem 2002 (kesalahan memiliki atau mengedar bahan lucah tanpa kelulusan Lembaga Penapisan Filem), Seksyen 377B/511 dan 377D Kanun Keseksaan (cubaan melakukan persetubuhan luar tabii / cubaan melakukan sesuatu kesalahan).
Peruntukan lain Seksyen 269 dan 270 Kanun Keseksaan (perbuatan cuai yang boleh menyebarkan penyakit berbahaya dan perbuatan berniat jahat yang boleh menyebarkan penyakit berbahaya).
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) yang meminta kementerian menyatakan langkah kerajaan seterusnya terhadap 171 lelaki warga tempatan yang ditahan dalam serbuan pusat spa di Chow Kit dan dibebaskan tanpa sebarang pendakwaan atas alasan kekurangan bukti.
Media tahun lalu melaporkan, seramai 171 warga tempatan yang ditahan dalam serbuan di pusat kesihatan di kawasan Chow Kit dibebaskan selepas mahkamah menolak permohonan reman terhadap mereka.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus dilaporkan berkata, tanpa pengakuan mangsa, siasatan mengikut Seksyen 377 (persetubuhan luar tabii) dan Seksyen 372 (eksploitasi pelacuran) Kanun Keseksaan tidak dapat diteruskan.
Dalam serbuan itu, seramai 17 penjawat awam antara 208 individu ditahan yang turut membabitkan rampasan kondom dan beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk tujuan tidak bermoral. – UTUSAN






