KUALA LUMPUR: Seorang Perdana Menteri sebagai ketua Kerajaan Persekutuan berkuasa menandatangani perjanjian antarabangsa bagi pihak Malaysia selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, berdasarkan input Jabatan Peguam Negara (AGC), Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) yang ditandatangani pada 26 Oktober 2025 merupakan perjanjian antarabangsa yang mengikat di sisi undang-undang antarabangsa.
“Di bawah Perlembagaan Persekutuan, hal ehwal perjanjian dengan negara asing termasuk dalam bidang kuasa Persekutuan selaras dengan Perkara 69, Perkara 74(1) dan Perkara 80(1) serta butiran 1(a) Senarai Persekutuan, Jadual Kesembilan.
“Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan pula memperuntukkan bahawa kuasa eksekutif Persekutuan terletak pada Yang di-Pertuan Agong dan boleh dijalankan oleh Jemaah Menteri,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman rasmi Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) mengenai peruntukan Perlembagaan yang membenarkan seorang Perdana Menteri menandatangani perjanjian dengan negara luar sebagaimana dilakukan berkaitan ART pada Oktober 2025. – UTUSAN






