PETALING JAYA: Penggunaan kalimah-kalimah Islam seperti Alhamdulillah oleh bukan Islam dalam perbualan harian adalah harus dengan syarat tidak merendahkan kesucian agama Islam, tidak mengandungi unsur penghinaan serta digunakan dalam konteks yang betul.
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkata, dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia, terdapat keadaan di mana sebahagian bukan Islam menggunakan kalimah yang berasal daripada ajaran Islam seperti Alhamdulillah, Insha-Allah, Masya-Allah dalam perbualan harian.
Katanya, fenomena itu merupakan perkara normal kerana pergaulan antara budaya dan agama boleh menyebabkan perbuatan ditiru antara satu sama lain sama ada secara sengaja atau tidak, namun persoalan yang timbul ialah hukum syarak terhadap perbuatan tersebut menurut perspektif ilmu fiqh.
“Bagi menjawab persoalan itu, terdapat hadis yang menunjukkan golongan Yahudi sengaja bersin di hadapan Rasulullah dengan harapan Baginda mendoakan kebaikan kepada mereka.
“Hal itu berdasarkan hadis diriwayatkan daripada Abu Musa RA bahawa golongan Yahudi sering bersin di sisi Nabi Muhammad dengan harapan Baginda mengucapkan ‘Semoga kamu dirahmati Allah’.
“Namun Baginda menjawab dengan doa ‘Semoga Allah memberi hidayah kepada kamu dan memperbaiki keadaan kamu’ dan hadis tersebut diriwayatkan oleh al-Tirmidzi,” katanya menerusi Bayyan Linnas Siri Ke-338 di Facebook hari ini.
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkata, jika penggunaan kalimah suci Islam bertujuan menghina atau memperkecilkan, perkara itu perlu dihalang dan dielakkan daripada bersama mereka.
Katanya, hal itu berdasarkan Surah al-Nisa ayat 140 yang ditafsirkan oleh Syeikh al-Tantawi bahawa umat Islam perlu meninggalkan majlis yang memperolok atau mengkufurkan ayat-ayat Allah sehingga mereka beralih kepada perbualan lain.
“Beberapa garis panduan perlu dipatuhi sekiranya bukan Islam menggunakan kalimah Islam iaitu tidak digunakan dalam konteks olok-olok, penghinaan atau persendaan.
“Selain itu, tidak dijadikan bahan komersial atau slogan yang mencemarkan makna asal serta merujuk kepada umat Islam untuk memahami makna sebenar kalimah tersebut bagi kegunaan yang betul mengikut situasi.
“Penggunaan kalimah Islam oleh bukan Islam dalam perbualan harian adalah harus dalam suasana masyarakat majmuk, namun tertakluk kepada syarat tidak merendahkan kesucian agama, tidak mengandungi unsur penghinaan serta digunakan dalam konteks yang betul,” katanya.
Sebelum ini, ahli Parlimen pembangkang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff mempersoalkan tindakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menggunakan kalimah sinonim dengan umat Islam pada persidangan Dewan Rakyat.
Siti Zailah (PN-Rantau Panjang) menyifatkan tindakan itu bukan sahaja mengelirukan masyarakat bukan Islam, malah seolah-oleh mempermainkan kesucian Islam. – UTUSAN






