BUKIT MERTAJAM: Hampir 500 orang penduduk yang mendiami kira-kira 100 unit rumah di Taman Sejahtera, Machang Bubok di sini kini menarik nafas lega selepas isu banjir kilat yang membelenggu mereka akhirnya menemukan jalan penyelesaian.
Ia susulan pelaksanaan Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) bernilai RM2.73 juta yang siap sepenuhnya sejak September tahun lepas menerusi pembiayaan sepenuhnya daripada Wang Caruman Saliran Kerajaan Negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata, skop kerja utama projek yang bermula sejak April 2023 itu melibatkan kerja-kerja kejuruteraan yang komprehensif untuk memastikan sistem saliran mampu menampung kadar hujan tinggi yang direkodkan iaitu pada kadar purata 65 milimiter (mm) sejam.
Katanya, antara kerja-kerja yang dijalankan termasuk menaik taraf sistem perparitan sedia ada iaitu melibatkan penggunaan U-drain dan box culvert pelbagai saiz di Lorong Sejahtera 9, 10, 11, 13, 15, 24A, 25 dan Jalan Sejahtera 4.
“Turut dijalankan ialah kerja-kerja pengurusan kolam takungan iaitu menaik taraf kolam takungan sedia ada seluas 959 meter persegi serta membina kolam takungan baharu seluas 666.6 meter persegi.
“Selain itu, beberapa infrastruktur sokongan turut dibina seperti menaik taraf lantai masuk (entrance) bagi 500 buah rumah, melakukan kerja-kerja penurapan semula jalan di sepanjang jajaran terlibat serta pengalihan utiliti dan sebagainya,” katanya hari ini.
Tambah beliau, kerajaan negeri sentiasa komited bagi memastikan projek-projek RTB yang dirancang dapat dilaksanakan sepenuhnya sebagai pelan mitigasi terhadap isu-isu banjir yang berlaku di Pulau Pinang ketika ini.
Difahamkan, masalah banjir kilat yang berlaku di kawasan Taman Sejahtera itu antara yang paling kritikal khususnya dalam daerah Seberang Perai Tengah (SPT).
Ini kerana secara puratanya banjir kilat dilaporkan berlaku sehingga sembilan kali dalam tempoh setahun terutamanya ketika hujan lebat sejak lebih 10 tahun yang lalu. – UTUSAN






