PETALING JAYA: Tugas Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu digantung bagi membolehkan siasatan menyeluruh berhubung isu pemilikan saham yang didakwa melanggar peraturan penjawat awam.
Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, pemilikan harta Azam juga perlu disiasat bagi memastikan bagaimana beliau boleh mempunyai wang sejumlah demikian.
Katanya, ia bagi memastikan sama ada beliau terbabit, secara langsung atau tidak langsung, di dalam apa-apa urusniaga terutamanya yang melibatkan perolehan awam.
“Tindakan berikut wajar diambil segera oleh Perdana Menteri menggantung tugas Tan Sri Azam Baki dengan serta-merta supaya satu siasatan menyeluruh boleh dibuat berhubung tuduhan salah laku (pemilikan saham melebihi RM100 000),” katanya dalam kenyataan.
Laporan media antarabangsa Bloomberg sebelum ini mendedahkan pemilikan 17.7 juta saham oleh Azam dalam sebuah syarikat senaraian awam, Velocity Capital Partners Berhad, dengan nilai dianggarkan sekitar RM800,000 berdasarkan harga semasa.
Dalam pada itu Rafizi berkata, isu berkenaan bukan sahaja melibatkan pelanggaran peraturan pentadbiran, malah menyentuh soal integriti dan kewibawaan SPRM sebagai institusi utama membanteras rasuah .
“Keadaan ini mewujudkan persepsi konflik kepentingan yang serius, apatah lagi apabila ia melibatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM sendiri,” katanya.
Beliau menegaskan, penggantungan tugas Azam Baki perlu dilakukan segera bagi memastikan siasatan dapat dijalankan secara bebas, telus dan tanpa sebarang campur tangan.
Tegas Rafizi, kegagalan kerajaan bertindak tegas dalam isu ini boleh menjejaskan keyakinan rakyat serta pandangan masyarakat antarabangsa terhadap komitmen Malaysia dalam memerangi rasuah.
Beliau berkata, sebarang kelewatan membuat keputusan hanya akan mengundang lebih banyak persoalan dan spekulasi terhadap pentadbiran kerajaan ketika ini. – UTUSAN






