PETALING JAYA: Dua tanduk dan tengkorak disyaki rusa yang dirampas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 di Sepang baru-baru ini dipercayai hendak dibawa ke Vietnam.
Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, siasatan awal mendapati suspek, seorang lelaki warga Perancis, bukan ‘keldai’ bagi membawa trofi hidupan liar terbabit.
Katanya, suspek memaklumkan barang itu diperolehi daripada abangnya di Perancis untuk dibawa kepada saudara mereka di Vietnam.
“Trofi (tanduk dan tengkorak rusa) diperolehi daripada abangnya yang memburu di Perancis.
“Suspek membawa masuk barangan itu dari Perancis ke Malaysia melalui KLIA pada 27 Januari lalu dan transit di Singapura,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Menurut Abdul Kadir, suspek ke Vietnam dari Malaysia melalui KLIA pada 1 Februari lalu dan ditahan penguatkuasaan kerana tiada lesen atau permit yang sah.
Sebelum itu, media melaporkan suspek ditahan selepas pemeriksaan Bahagian Pemeriksaan Barangan ke atas bagasinya kira-kira pukul 12 tengah hari, Ahad lalu.
Lelaki warga Perancis berusia lingkungan 50-an membawa barangan itu tanpa kebenaran atau dokumen sah.
Barangan yang disita ialah dua disyaki tanduk rusa dan satu disyaki tengkorak rusa dianggarkan bernilai RM3,000.
Kes disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] dan Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 [Akta 686].– UTUSAN






