PETALING JAYA: Aliran trafik menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri dilaporkan mula perlahan setakat tengah hari ini susulan peningkatan jumlah kenderaan yang menghala ke arah Timur.
Menurut laman X Plus Malaysia, kesesakan dikesan bermula dari Plaza Tol Gombak menuju ke Bentong manakala pergerakan kenderaan turut dilaporkan perlahan dari Bentong sehingga ke susur masuk Plaza Tol Karak setakat pukul 12.19 petang.
Bagi mengurangkan kesesakan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), beberapa laluan Smartlane diaktifkan di lokasi strategik.
Antaranya, di arah selatan, laluan kecemasan boleh dilalui oleh kenderaan ringan di antara KM 259.6 hingga KM 263.1 yang melibatkan laluan dari Port Dickson ke Seremban sehingga pukul 11.00 malam ini.
Sementara itu, bagi pengguna yang menghala ke utara, dua lokasi Smartlane turut dibuka bagi melancarkan aliran trafik dengan lokasi pertama melibatkan KM 230.0 hingga KM 235.0 dari Simpang Ampat ke Pedas Linggi yang dijadualkan beroperasi sehingga pukul 10.00 malam.
Pada masa yang sama, lokasi kedua pula melibatkan laluan dari Pedas Linggi ke Senawang (KM 244.0 hingga KM 248.5) di mana pengguna dibenarkan menggunakan lorong kecemasan di kawasan tersebut bermula pukul 11.00 pagi tadi sehingga 11.00 malam ini.
Dalam pada itu, pihak berkuasa lebuh raya mengingatkan pemandu untuk sentiasa berwaspada dan mengekalkan jarak selamat antara kenderaan sepanjang tempoh kesesakan ini.
Pengguna Smartlane turut diingatkan bahawa kemudahan tersebut hanya diperuntukkan bagi kenderaan ringan sahaja dan bukannya kenderaan berat. – UTUSAN






