PETALING JAYA: Kegiatan pemburuan hidupan liar pada musim perayaan dikesan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bagi tujuan dijadikan haiwan peliharaan serta dipamerkan kepada kenalan.
Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, tiada peningkatan ketara dalam aktiviti pemilikan haram hidupan liar yang dilindungi dikesan sepanjang musim perayaan ini.
Katanya, Perhilitan percaya bahawa aktiviti penjualan dan pemburuan haram hidupan liar yang dilindungi masih berlaku semasa musim perayaan.
Katanya, permintaan terhadap hidupan liar untuk dijadikan sebagai haiwan peliharaan turut menjadi antara faktor berlakunya kegiatan jenayah itu.
“Aktiviti penjualan hidupan liar secara haram di platform media sosial juga dikesan di mana penjual membuat promosi jualan sempena musim perayaan dengan tawaran harga yang rendah sebagai taktik menarik pembeli.
“Pemilikan hidupan liar seperti burung murai batu, punai daun, merbah luris leher serta haiwan eksotik lain sebagai haiwan peliharaan dilihat sebagai satu kebanggaan atau kepuasan kepada pemilik apabila dipamerkan kepada kenalan ketika musim perayaan,” katanya hari ini.
Beliau berkata, modus operandi aktiviti pemburuan hidupan liar semasa musim perayaan lazimnya dijalankan seminggu sebelum Ramadan hingga menjelang hari raya.
Katanya, ia dilakukan sama ada secara kumpulan kecil yang terdiri daripada dua hingga empat individu atau perseorangan.
“Bagi penjualan hidupan liar di platform media sosial pula, ia dijalankan menggunakan kaedah dropshipping, di mana penjual bertindak sebagai orang tengah tanpa memegang stok hidupan liar dan hanya menerima komisen.
“Transaksi dilakukan secara dalam talian atau melalui kaedah tunai semasa serahan (COD), manakala penghantaran kepada pelanggan dibuat sama ada melalui perkhidmatan kurier atau pengangkutan awam,” ujarnya.
Tegasnya, orang awam yang terlibat dalam pemilikan hidupan liar tanpa lesen atau permit khas atau dalam aktiviti pemburuan haram, boleh disabitkan kesalahan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716). – UTUSAN






