BUKIT MERTAJAM : Seorang pegawai khas kepada Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong, hari ini membuat laporan polis bagi menafikan satu dakwaan yang tular di media sosial berhubung isu pemindahan Hospital Bukit Mertajam.
Lim Zheng Han berkata, beliau tampil untuk membuat laporan itu susulan satu hantaran di laman Facebook atas nama ‘Hamly Hadi’ yang didakwanya mengandungi unsur hasutan perkauman dan keagamaan, selain mengandungi kenyataan yang tidak tepat mengenai hospital berkenaan.
Katanya, Steven memang ada membuat lawatan ke hospital terbabit pada 15 September tahun lepas, namun, lawatan tersebut cuma bertujuan meninjau kemudahan asas selain menilai keperluan untuk menaik taraf bangunan hospital sahaja.
“Bagaimanapun, hantaran yang dimuat naik ke dalam akaun Facebook itu beserta kapsyen tidak berasas bertulis: ‘Hospital Bukit Mertajam akan dipindahkan bagi mengelakkan gangguan terhadap sebuah kuil India – Steven Sim Chee Keong’ adalah berunsur fitnah, mengelirukan serta berniat jahat,” katanya di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Zheng Han berkata, ketika ini, memang tidak ada sebarang cadangan untuk memindahkan hospital tersebut ke lokasi lain, sebaliknya, pihak berkuasa sedang meneliti pelan pembinaan bangunan tambahan di tapak sedia ada bagi menampung peningkatan jumlah pesakit.
“Fitnah seperti ini bukan saja mencemarkan imej Steven Sim, malah, ia berisiko mencetuskan ketegangan serta menjejaskan keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia,” ujar beliau.
Semalam, Lembaga Pelawat Hospital Bukit Mertajam dalam satu kenyataan turut menepis dakwaan bahawa hospital berkenaan akan dipindahkan bagi mengelak gangguan terhadap sebuah kuil di situ.
Menurut mereka, Kerajaan Pulau Pinang sebaliknya telah memperuntukkan tanah seluas 3.24 hektar bagi tujuan pelan pembesaran Hospital Bukit Mertajam yang kini sedang dalam penelitian oleh Kementerian Kesihatan (KKM).-UTUSAN






