JOHOR BAHRU: Seorang pengawal keselamatan dihukum penjara 10 tahun berserta lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah merogol wanita orang kurang upaya (OKU) di Skudai, Januari lalu.
Tertuduh, R. Sivanesan, 39, yang juga seorang pesakit HIV membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Madihah Zainol.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani kaunseling pemulihan sepanjang tempoh pemenjaraan, selain pengawasan polis selama setahun selepas tamat tempoh penjara.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu terhadap seorang wanita OKU berusia 29 tahun dalam sebuah rumah di Taman Jaya Emas, Skudai pada pukul 11.50 malam, 30 Januari 2026.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (2) (k) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.
Peguam mewakili tertuduh secara pro bono, Omar Kutty Abdul Aziz berkata, tertuduh bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan pendapatan RM2,200 sebulan serta tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.
Timbalan Pendakwa Raya, Nor Fadilah Johanuddin meminta mahkamah memberi hukuman setimpal terhadap tertuduh memandangkan mangsa merupakan OKU yang lemah dan memerlukan pembelaan.
“Mangsa ialah OKU yang mengalami masalah lembam pembelajaran, selain turut mempunyai masalah pertuturan dan pendengaran. Susulan itu hukuman setimpal perlu diberi sebagai pengajaran kepada semua pihak,” katanya. – UTUSAN





