KUALA LUMPUR: Puasa bukan sahaja memberi manfaat kepada kesihatan fizikal, malah membantu meningkatkan kecerdasan otak melalui penghasilan sejenis protein yang bertindak seperti ‘baja’ kepada sel saraf.
Ketika berpuasa, tubuh mengalami tekanan ringan yang sihat atau mild stress. Keadaan ini merangsang otak menghasilkan protein dikenali sebagai Brain-Derived Neurotrophic Factor (BDNF) yang berperanan menguatkan hubungan antara sel saraf.
Protein tersebut membantu memperbaiki sel otak yang rosak serta merangsang penghasilan sel saraf baharu, khususnya di bahagian otak yang mengawal memori dan pembelajaran.
Pakar Psikiatri Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Farah Deena Abdul Samad berkata, ketika berpuasa tubuh tidak perlu bekerja berterusan untuk mencerna makanan, sekali gus membolehkan otak menggunakan tenaga dengan lebih cekap.

“Namun kesan ini juga bergantung kepada gaya hidup sepanjang Ramadan. Jika seseorang mendapat tidur mencukupi serta mengambil makanan seimbang ketika sahur dan berbuka, fungsi kognitif seperti daya tumpuan dan kepekaan mental boleh menjadi lebih baik.
“Apabila perut kenyang, badan akan mengalihkan banyak tenaga dan darah ke sistem penghadaman untuk memproses makanan. Sebab itulah kita sering berasa mengantuk selepas makan tengah hari,” katanya kepada Nexbyte.
Secara biologi puasa membantu menstabilkan paras hormon stres, kortisol, sekali gus memberi kesan menenangkan kepada sistem saraf.
Dr. Farah berkata, apabila puasa disertai amalan kerohanian yang konsisten, tubuh beralih daripada keadaan gelisah kepada mod rehat dan pemulihan.
“Ramadan mengingatkan manusia tentang tujuan hidup yang lebih besar daripada sekadar urusan dunia. Apabila seseorang memberi ruang kepada dimensi spiritual dalam kehidupan, tahap stres biasanya menjadi lebih terkawal,” katanya.
Pada masa sama, puasa juga berfungsi sebagai latihan kawalan diri dari sudut psikologi. Setiap kali seseorang menahan diri daripada bertindak mengikut emosi, bahagian otak hadapan atau prefrontal cortex yang mengawal logik dan pertimbangan turut dilatih.
Menurut Dr. Farah, kemahiran itu dikenali sebagai pengawalan impuls, iaitu keupayaan seseorang menahan diri seketika sebelum bertindak balas terhadap emosi.
“Sepanjang tempoh berpuasa, seseorang bukan sahaja menahan lapar dan dahaga, tetapi juga belajar mengawal kemarahan, percakapan dan tingkah laku.
“Apabila latihan ini dilakukan secara konsisten sepanjang Ramadan, individu akan menjadi lebih sabar, tenang dan kurang mudah melatah apabila berdepan situasi mencabar,” katanya.
Puasa bukan sekadar latihan fizikal, sebaliknya turut membentuk kematangan emosi serta membantu seseorang mengurus tekanan dengan lebih baik dalam kehidupan seharian. – UTUSAN






