PETALING JAYA: Tindakan Kerajaan Persekutuan memohon penangguhan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung tuntutan 40 peratus hasil Sabah menimbulkan persoalan mengenai keikhlasan kerajaan dalam menghormati keputusan maruah rakyat negeri itu.
Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, walau apa pun alasan dan justifikasi yang diberikan untuk mewajarkan permohonan penangguhan tersebut, hakikatnya langkah itu memberi kesan sama iaitu melambatkan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi dan terus memperlekehkan hak Sabah dalam Persekutuan.
Katanya, tindakan itu turut menimbulkan persoalan sama ada rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah telah menemui jalan buntu sehingga kerajaan memilih untuk memohon penangguhan di mahkamah.
“Jika benar Kerajaan Persekutuan menghormati keputusan Mahkamah Tinggi dan peduli dengan rintihan rakyat Sabah, mengapa perlu menangguhkan pelaksanaannya?
“Rakyat Sabah berhak mendapat penjelasan. Hak Sabah yang dijamin oleh Perlembagaan tidak seharusnya dilayan sambil lewa, dan pematuhan pelaksanaannya tidak wajar ditangguhkan atau dilengah-lengahkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ronald turut menyifatkan tindakan Kerajaan Persekutuan memfailkan permohonan menangguhkan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berkaitan tuntutan 40 peratus hasil Sabah (stay of execution) sebagai mengecewakan.
Katanya, sebelum ini Kerajaan Persekutuan menyatakan tidak akan merayu keputusan Mahkamah Tinggi tersebut, namun pada saat akhir tetap memfailkan rayuan walaupun dinyatakan ia hanya melibatkan alasan penghakiman.
“Begitu juga dengan tanggungjawab memenuhi tuntutan 40 peratus hasil Sabah yang mana Kerajaan Persekutuan berjanji untuk menghormatinya. Namun sekali lagi rakyat Sabah dipermain-mainkan,” katanya.
Semalam, media melaporkan kerajaan Sabah akan mengemukakan bantahan terhadap permohonan difailkan Peguam Negara Persekutuan bagi mendapatkan penangguhan pelaksanaan Perintah Mahkamah Tinggi bertarikh 17 Oktober 2025.
Ia berkaitan semakan dan penentuan hak negeri Sabah terhadap 40 peratus daripada hasil bersih Persekutuan yang diperoleh dari negeri ini sejak 1974 hingga 2021 (tahun-tahun yang hilang).
Perkara itu disahkan Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah menerusi satu kenyataan media semalam.
Menerusi kenyataan itu, Peguam Besar Sabah, Datuk Brenndon Keith Soh berkata, Perintah Mahkamah Tinggi sebelum ini mengarahkan Kerajaan Persekutuan untuk mengadakan semakan bersama Kerajaan Sabah bagi melaksanakan pemberian khas 40 peratus.
Keputusan itu, katanya selaras dengan kerangka Perlembagaan bagi tahun-tahun yang hilang dan untuk mencapai persetujuan dalam tempoh 180 hari, iaitu selewat-lewatnya pada 15 April 2026. – UTUSAN






