PETALING JAYA: Semua syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi (telco) diarahkan untuk memantau prestasi rangkaian secara berterusan bagi memastikan perkhidmatan kekal stabil sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata, telco turut dikehendaki mengambil tindakan segera sekiranya berlaku gangguan atau penurunan kualiti perkhidmatan.
“Bagi memastikan tahap perkhidmatan sentiasa berada pada tahap terbaik, semua telco diarahkan memantau prestasi rangkaian secara berterusan dan mengambil tindakan segera sekiranya berlaku gangguan atau penurunan kualiti perkhidmatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini
Lagkah berkenaan sebahagian daripada usaha memperkukuh rangkaian dan operasi komunikasi bagi memastikan orang ramai terus menikmati perkhidmatan komunikasi yang lancar sepanjang musim perayaan.
Sejak awal Mac, sebanyak 866 inisiatif pengukuhan rangkaian sementara telah dilaksanakan di seluruh negara bagi menampung peningkatan penggunaan, termasuk 774 kerja pengoptimuman rangkaian dan 27 pengaktifan serta modenisasi rangkaian 5G.
Selain itu, sebanyak 21 penyelesaian sementara seperti Portable Base Transceiver Station (PBTS), Cellular on Wheel (CoW), Mobile Base Transceiver Station (MBTS) dan Mobile Communications Vehicle (MCV) turut digerakkan bagi menambah sokongan liputan di kawasan tumpuan.
Usaha berkenaan memberi tumpuan kepada lokasi yang dijangka mengalami peningkatan trafik komunikasi tinggi seperti lebuh raya utama, kawasan Rehat dan Rawat (R&R), hentian sebelah serta destinasi pelancongan.
SKMM turut memaklumkan akan terus memainkan peranan sebagai penyelaras dan pemantau melalui pejabat negeri, termasuk melaksanakan pemantauan lapangan secara responsif di lokasi kritikal.
Orang ramai disaran menghubungi telco masing-masing atau menyalurkan aduan melalui portal rasmi SKMM bagi memastikan tindakan susulan dapat diambil dengan cepat dan berkesan.-UTUSAN






