KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) mahu permohonan penangguhan pelaksanaan perintah yang difailkan kerajaan Persekutuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mengenai hak 40 peratus hasil Sabah dicabar di negeri ini.
Presidenya, Datuk Ewon Benedick, berkata Jabatan Peguam Negara telah memfailkan permohonan penangguhkan pelaksanaan keputusan mahkamah yang sebelum ini menetapkan tempoh 180 hari bagi kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri mencapai persetujuan berkaitan pembayaran semula hak 40 peratus kepada Sabah.
Katanya, perkara itu telah dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet dan keputusan berkenaan perlu dicabar.
“Ini pendirian UPKO kerana kita tidak mahu melihat sebarang usaha untuk melengah-lengahkan apa yang telah diputuskan oleh mahkamah,” katanya ditemui pada Majlis Berbuka Puasa anjuran Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) bertempat di Stesen Kereta Api Tanjung Aru, di sini, semalam.
Ewon yang juga Timbalan Ketua Menteri III serta Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan berkata, permohonan difailkan Jabatan Peguam Negara itu wajar dicabar bagi memastikan keputusan mahkamah berhubung perkara terbabit dapat dipertahankan. – UTUSAN





