KUALA LUMPUR: Bekas pengarah sebuah syarikat telekomunikasi didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengemukakan pernyataan palsu mengenai perkhidmatan kejuruteraan perunding pengurusan projek fiber optik, 14 tahun lalu.
Tertuduh, Wong Chee Keong, 73, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Kafli Che Ali.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memberi satu dokumen ‘Declaration Form’ bertarikh 13 Ogos 2012 kepada Penolong Pengurus Bahagian Teknikal Servis, Bank Pembangunan Malaysia Berhad dengan niat untuk memperdayakan prinsipalnya di Bank Pembangunan Malaysia Berhad, Menara Bank Pembangunan di sini pada 13 September 2012.
Butiran palsu tersebut ialah ‘Kami, Silver Ridge Sdn. Bhd., yang bertandatangan di bawah dengan ini secara tegas dan bersungguh-sungguh mengisytiharkan bahawa kami tidak mempunyai sebarang hubungan dengan pihak-pihak utama dalam kontrak tersebut dan tidak mempunyai apa-apa kepentingan terhadap projek ini dalam melaksanakan tugas profesional kami sebagai ICE bagi projek tersebut’.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah seksyen 24(2) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda jumlah atau butir nilai matan palsu, jika butiran palsu atau silap itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Vivien Yeap Jie Xi manakala Chee Keong diwakili peguam-peguam bela, Muhammad Hafizuddin Salehuddin dan Siti Sarah Khalil.
Minggu lalu, SPRM melaporkan menahan seorang individu kerana disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu bagi mendapatkan kelulusan pinjaman berjumlah kira-kira RM200 juta. – UTUSAN






