PETALING JAYA: Seorang bekas pengarah sebuah syarikat telekomunikasi ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki kemuka dokumen yang mengandungi butir matan palsu kepada sebuah institusi kewangan pembangunan sebagai dorongan memberi kelulusan pengeluaran pinjaman berjumlah kira-kira RM200 juta.
Suspek lelaki berusia lingkungan 70-an itu ditahan kira-kira pukul 10.35 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.
Menurut sumber, siasatan awal mendapati suspek disyaki bersubahat bersama beberapa individu lain yang telah dituduh sebelum ini dan melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2012.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
“Suspek akan dituduh Isnin depan di Mahkamah Kuala Lumpur,” katanya. – UTUSAN





