ALOR GAJAH: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memperkenalkan pengajaran Bahasa Tamil dan Bahasa Cina dalam Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) bermula tahun depan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, langkah tersebut merupakan antara pembaharuan penting dalam Kurikulum Persekolahan 2027 yang bakal dilaksanakan secara berperingkat bermula dengan murid Tahun Satu dan Tingkatan Satu.
Menurut beliau, inisiatif itu bertujuan memastikan murid berkeperluan pendidikan khas tidak tercicir dalam penguasaan bahasa ibunda masing-masing, sekali gus meningkatkan peluang mereka untuk mengikuti pembelajaran arus perdana.
“Mulai 2027, Bahasa Tamil dan Bahasa Cina akan diperkenalkan dalam kelas PPKI di SJKT dan SJKC. Ini penting kerana kita tidak mahu murid kekal dalam pendidikan khas sepanjang masa.
“Sebaliknya, bagi murid yang menunjukkan perkembangan baik, mereka boleh diserap ke kelas arus perdana. Penguasaan bahasa ibunda akan membantu proses integrasi tersebut berjalan dengan lebih lancar,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Simposium Kepemimpinan Digital Guru Besar SJKT Malaysia Ke Arah Reformasi Pendidikan MADANI di Dewan Konvensyen Freeport A’Famosa, di sini malam tadi.
Mengulas lanjut Wong berkata, permintaan terhadap kelas PPKI kini semakin meningkat berikutan kesedaran ibu bapa yang kian tinggi terhadap keperluan pendidikan khas anak-anak mereka.
Sehubungan itu, katanya, KPM sedang giat memperkukuh tenaga pengajar dalam bidang pendidikan khas termasuk menggalakkan lebih ramai bakal guru memilih opsyen tersebut ketika mengikuti latihan perguruan.
“Kita akui terdapat kekangan dari segi jumlah guru terlatih dalam pendidikan khas. Namun, sebagai langkah jangka pendek, KPM turut melatih guru sedia ada bagi membolehkan mereka mengendalikan kelas PPKI,” ujarnya.
Menurutnya, kementerian juga memberi penekanan terhadap pemerkasaan digital dalam kalangan pentadbir sekolah termasuk melalui kerjasama dengan pelbagai pihak bagi menyediakan kemudahan seperti Smart TV di sekolah.
Jelasnya, tahun lalu sebanyak 400 unit Smart TV diagihkan kepada 387 sekolah manakala tahun ini 140 sekolah lagi akan menerima satu unit setiap satu bagi menjadikan semua SJKT sekurang-kurangnya mempunyai satu Smart TV.
Katanya, usaha berterusan itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan sistem pendidikan negara kekal inklusif, progresif dan mampu memenuhi keperluan semua lapisan murid.
“Matlamat kita jelas, iaitu memastikan tiada murid yang tercicir dan semua mendapat akses pendidikan berkualiti termasuk murid berkeperluan khas,” katanya. – UTUSAN






