PETALING JAYA: Dasar kemasukan tahun satu pada usia enam tahun akan mewujudkan jurang pembelajaran ketara antara kanak-kanak berkeperluan khas dengan murid arus perdana, jika sokongan khusus tidak diperkukuh sejak awal.
Ini kerana pelaksanaan kemasukan pada usia enam tahun memerlukan fasiliti dan tenaga pengajar khas bagi menampung peningkatan pelajar khususnya membabitkan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).
Baru-baru ini, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, mengakui Kementerian Pendidikan (KPM) menghadapi masalah dalam isu kekurangan guru pendidikan khas di Dewan Rakyat.
Berdasarkan data KPM sehingga 31 Januari 2025, murid berkeperluan khas yang berdaftar ke sekolah merangkumi 133,921 orang di semua peringkat iaitu prasekolah, sekolah rendah dan menengah.
Jumlah itu terdiri daripada 2,066 murid di peringkat prasekolah, 79,057 di sekolah rendah dan 52,798 di sekolah menengah.
Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Fouzi Singon berkata, kemasukan lebih awal berpotensi menambah tekanan kepada murid PPKI yang masih memerlukan tempoh penyesuaian perkembangan, emosi dan sosial.
Katanya, peningkatan jumlah murid berkeperluan khas dijangka berlaku selari dengan pelaksanaan dasar itu, sekali gus menimbulkan persoalan kecukupan fasiliti dan tenaga pengajar terlatih.
“Semua kohort umur berhak menyertai sistem pendidikan, namun tidak menjangka enrolmen murid PPKI lebih tinggi berbanding murid normal,” katanya kepada Nexbyte.
Bagaimanapun, Fouzi mengakui keperluan mendesak untuk menambah guru pendidikan khas dan pembantu pengurusan murid berikutan nisbah guru-murid yang masih tidak seimbang.
Katanya, isu kekurangan sumber manusia itu turut dibebani dengan kekangan fasiliti seperti kelas pendidikan khas yang belum menyeluruh dan seragam antara sekolah.
“Pembinaan sekolah khas PPKI lengkap dengan kemudahan sepatutnya dilaksanakan di setiap daerah bagi memastikan kebajikan murid dan guru sentiasa terjamin,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Pusat Pendidikan & Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Hasnah Toran berkata, ibu bapa khususnya yang mempunyai anak-anak berkeperluan khas seperti autisme perlu memberikan ruang kepada KPM menambahbaik Dasar Pendidikan Negara (DPN) yang diperkenalkan.
Katanya, jika KPM mahu memfokuskan terlebih dahulu kepada isu-isu berbangkit membabitkan murid arus perdana juga tiada masalah memandangkan DPN diperkenalkan adalah sangat positif.
Bagaimanapun, tegasnya, kerajaan perlu melihat keperluan memperkenalkan perkhidmatan Program Intervensi Awal (EIP) kepada anak-anak istimewa dengan lebih serius.
“Jika kita lihat DPN lebih banyak memberi fokus kepada anak-anak berusia enam tahun untuk masuk Tahun Satu tetapi EIP belum ada apa-apa perkembangan lagi.
“Sepatutnya, apabila KPM memperkenalkan dasar zero rejection, agensi-agensi kerajaan lain sudah perlu bekerja untuk membantu perkembangan anak-anak istimewa supaya mereka bersedia untuk ke sekolah,” katanya.
Mengambil contoh dasar pendidikan khas di Amerika Syarikat (AS), Hasnah berkata, anak-anak yang disahkan mempunyai masalah pembelajaran seperti autisme diwajibkan menerima intervensi awal selepas 30 hari mendapat pengesahan.
Katanya, walaupun Malaysia mungkin masih jauh untuk mencapai ke arah itu namun pendekatan-pendekatan sedemikian sebagai persediaan awal sudah perlu dilaksanakan.
“Sebagai contoh kerajaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) boleh memperkenalkan kelas atas talian kepada ibu bapa mengenai EIP, gubal undang-undang berkaitan pusat-pusat perkhidmatan EIP dan sebagainya,” katanya. – UTUSAN






