PETALING JAYA: Individu yang memakai ves dan helmet polis tanpa kebenaran untuk penghasilan kandungan video di platform TikTok telah ditahan, semalam.
Rakaman itu dipercayai dibuat pada 17 April lalu sebelum video berkenaan tular di media sosial.
Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintenden Mohd. Fairus Jaafar berkata, pihaknya menerima maklumat semalam sebelum bertindak menahan suspek di kawasan USJ di sini.
“Suspek lelaki tempatan berusia lingkungan 30 tahun ditahan bagi membantu siasatan selepas dipercayai memakai pakaian serta peralatan polis tanpa kebenaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, suspek akan direman bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Katanya, kes disiasat mengikut beberapa peruntukan undang-undang termasuk Seksyen 89 Akta Polis 1967 kerana menggunakan pakaian seragam tanpa kebenaran, selain Seksyen 504 Kanun Keseksaan.
“Siasatan turut melibatkan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana memuat naik kandungan jelik di platform media sosial,” katanya. – UTUSAN





