KLANG: Seorang pekerja p-hailing hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan menyamar sebagai polis serta menyamun dan merogol seorang wanita minggu lalu.
Tertuduh, R. Sathiyaseelan, 32 tahun, membuat pengakuan demikian selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Sharifah Hascindie Syed Omar.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa merogol dan menyebabkan kecederaan terhadap mangsa, seorang kerani swasta, yang berusia 37 tahun pada pukul 2 pagi di kawasan parkir kenderaan di Jalan Tapah, Klang.
Dia dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 376(2)(a) Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalahan, boleh dipenjara tempoh tidak kurang dari 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun dan sebat.
Sementara itu, Sathiyaseelan dan rakannya M. Balaraj turut membuat pengakuan sama atas pertuduhan menyamun secara berkumpulan dengan mengambil beg tangan mangsa berkenaan yang mengandungi sebuah telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM110 di lokasi dan masa kejadian.
Justeru, mereka dituduh di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika disabit kesalahan.
Sementara di Mahkamah Majistret, pengakuan sama direkodkan bagi kesalahan menyamar dan menjalankan tugas sebagai anggota polis.
Mereka dituduh di bawah Seksyen 170 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.
Kedua-dua mahkamah membenarkan tertuduh, Sathiyaseelan diikat jamin sebanyak RM25,000 bagi ketiga-tiga kesalahan sementara Balaraj pula RM15,000 masing-masing dengan seorang penjamin.
Mereka juga dikenakan syarat tambahan iaitu melaporkan diri di balai polis berhampiran pada setiap bulan.
Di Mahkamah Sesyen, kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Suhaili Abu Bakar dan Timbalan Pendakwa Raya Nadia Syuhada Rosli di Mahkamah Majistret.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 5 Mac depan. – UTUSAN






