GEORGE TOWN: Malaysia bukan negara pengeluar dadah sebaliknya lebih cenderung dijadikan sebagai lokasi transit bagi sindiket antarabangsa untuk mengedarkan bahan terlarang ke pasaran lain.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kedudukan geografi negara khususnya berhampiran kawasan pengeluaran dadah seperti Golden Triangle menjadikan Malaysia antara laluan utama penyeludupan ketika ini.
Menurutnya, kebanyakan dadah yang memasuki negara ini dibawa dari utara Semenanjung sebelum diagihkan ke destinasi lain, selain sebahagian kecil lagi digunakan dalam pasaran tempatan.
“Malaysia sejak dahulu merupakan negara transit, bukan pengeluar. Dadah yang dihasilkan dari kawasan Golden Triangle masuk melalui utara Semenanjung sebelum bergerak ke lokasi lain,” katanya selepas merasmikan forum perdana anjuran Penang Crime Consciousness and Public Safety Society (CCPSS) di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai nilai rampasan dadah yang mencecah jutaan ringgit saban tahun sekali gus menimbulkan persoalan mengenai peranan yang dimainkan negara dalam rantaian pengedaran global ketika ini.
Menurut Ayob Khan, berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), jumlah rampasan dadah serta racun pada tahun lalu mencecah kira-kira RM3.1 bilion manakala bagi tahun ini pula iaitu sehingga Mac, jumlah rampasan telah mencecah RM915 juta dan angka ini dijangka terus meningkat seiring dengan operasi berterusan pihak berkuasa.
Katanya, pelbagai laluan digunakan oleh sindiket untuk membawa masuk dadah termasuk melalui darat, laut dan udara dengan kemasukan dadah di kawasan utara Semenanjung dikesan berlaku melalui laluan darat dan laut, manakala ke Sabah dan Sarawak pula melibatkan laluan udara dan perairan.
Dalam pada itu, beliau mengakui bahawa kawalan di pintu sempadan negara berdepan cabaran berikutan sifatnya yang luas sekali gus menyukarkan pemantauan menyeluruh dilakukan.
Sehubungan itu, katanya, aspek risikan akan dipertingkat selain kerjasama rapat dengan agensi penguat kuasa negara jiran seperti Thailand juga akan dibuat bagi mengekang aktiviti penyeludupan.
“Pendekatan baharu turut digunakan dengan mengambil tindakan di bawah jenayah terancang termasuk menggunakan peruntukan undang-undang sedia ada bagi menumpaskan keseluruhan rangkaian sindiket,” katanya.
Beliau berkata, ketika ini, antara negeri yang dikenal pasti menjadi lokasi persinggahan termasuk di utara Semenanjung seperti Pulau Pinang dan Kedah susulan kedudukannya yang berhampiran sempadan negara. – UTUSAN






