PETALING JAYA: Semakan pihak polis bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati bahan tartrazin yang terkandung dalam gula-gula yang tular dan didakwa mengandungi bahan terlarang merupakan bahan pewarna makanan yang dibenarkan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Hussein Omar Khan berkata, bahan berkenaan tidak berbahaya kepada kanak-kanak, namun jika diambil dalam kuantiti berlebihan, ia boleh menyebabkan simptom gangguan tumpuan.
Hussein menjelaskan, bahan tersebut bukan dadah atau bahan terlarang di bawah mana-mana undang-undang berkaitan dadah.
“Bungkusan produk berkenaan turut dicetak dengan peringatan berkaitan kandungan dan penggunaannya,” katanya ketika dihubungi Nexbyte di sini hari ini.
Terdahulu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan tidak menerima sebarang laporan atau aduan berhubung dakwaan gula-gula yang dipercayai mengandungi bahan terlarang dan dijual di pasar raya.
Setakat ini tiada mangsa tampil membuat laporan atau mengesan kandungan terlarang khususnya dadah dalam gula-gula yang terdapat di pasaran.
JSJN sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kimia Malaysia dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bagi memantau serta menyiasat sebarang isu berkaitan demi memastikan keselamatan pengguna.
Sekiranya terdapat sebarang perkara yang perlu diketahui oleh orang ramai, PDRM akan memaklumkan melalui saluran media rasmi. – UTUSAN






