PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil keterangan seorang individu disyaki memuat kandungan palsu di Tiktok membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dan suruhanjaya itu.
MCMC dalam kenyataan memaklumkan, tindakan itu diambil selepas satu kertas siasatan dibuka berhubung kandungan berkenaan.
Menurutnya, satu unit peranti komunikasi yang dipercayai digunakan untuk memuat naik kandungan tersebut turut disita bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” katanya.
MCMC menegaskan, pihaknya memandang serius sebarang penyalahgunaan platform media sosial dan media digital untuk mengelirukan orang ramai melalui penyebaran maklumat palsu.
“Tindakan penguatkuasaan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang sedia ada,” katanya.
Justeru itu katanya, orang ramai diingatkan supaya sentiasa bertanggungjawab ketika menggunakan media sosial.
“Serta tidak menyalahgunakan kemudahan komunikasi untuk memuat naik atau menyebarkan kandungan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat dan ketenteraman awam,” katanya. – UTUSAN





