KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memanjatkan rasa syukur kerana dapat membersihkan namanya daripada kenyataan-kenyataan fitnah yang bertebaran sejak tiga tahun lalu.
Ia berkait tuduhan yang mendakwa kononnya berlaku larangan takbir dan bacaan qunut nazilah ketika penganjuran Minggu Solidariti Palestin di sekolah seluruh negara, pada 2023.
Beliau berkata, penghakiman persetujuan di Mahkamah Sesyen hari ini sekaligus menangkis sangkaan buruk terhadap dirinya kerana fitnah itu jelas memberikan kesan besar.
“Saya rasa syukur dan lega. Sebenarnya, hari ini saya datang kerana sudah bersedia untuk meneruskan perbicaraan, tetapi saya fikir apabila ada ruang untuk kita mencari penyelesaian itu adalah perkara paling penting untuk membersihkan nama.
“Saya hendak dengar adalah perkataan ‘maaf’ dan saya dapat hari ini perkataan ‘maaf’ itu, Alhamdulillah. Maknanya hari ini adalah pengakhiran (saman fitnah) kerana segala sangkaan buruk terhadap saya, khususnya tentang larangan takbir dan qunut nazilah memberikan kesan yang sangat besar,” katanya ketika ditemui selepas prosiding di sini hari ini.
Terdahulu, saman fitnah oleh Fadhlina terhadap beberapa pihak diselesaikan secara baik apabila kesemua defendan membuat permohonan secara terbuka di mahkamah.
Kesemua mereka ialah Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail serta bekas Ketua Pengarang Harakah, Mazlan Jusoh dan Galeri Media Serbanika Sdn. Bhd. yang menyiarkan kenyataan itu melalui portal Harakahdaily dan akhbar Harakah.
Hakim Hilmiah Yusof merekodkan penyelesaian secara baik kes saman itu dengan terma-terma penyelesaian yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak termasuk kos RM15,000 yang perlu dibayar kepada Fadhlina.
Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal memaklumkan akan menyalurkan sepenuhnya kos RM15,000 itu bagi tujuan kempen Solidariti Palestin di Jasin. – UTUSAN






