PETALING JAYA: Indeks harga seunit besi mencatatkan peningkatan antara 0.1 peratus sehingga 1.3 peratus pada Mei 2026, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan tertinggi bagi bahan ini telah direkodkan di Pahang sebanyak 1.3 peratus, diikuti dengan Sibu dan Miri (masing-masing 0.8 peratus).
Katanya, indeks harga seunit pasir juga mencatatkan peningkatan pada Mei 2026, iaitu antara 0.4 peratus sehingga 9.7 peratus berbanding bulan lepas.
“Peningkatan tertinggi bagi bahan ini telah direkodkan di Sandakan (9.7 peratus), diikuti dengan Johor dan Sibu (masing-masing 3.7 peratus).
“Tambahan itu, indeks harga seunit batu baur merekodkan peningkatan pada Mei 2026, dengan perubahan bulan ke bulan antara 0.3 peratus hingga 4.7 peratus di semua kawasan Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, peningkatan tertinggi bagi bahan ini telah direkodkan di Sandakan (4.7 peratus), diikuti dengan Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan (3.9 peratus) serta Johor (3.6 peratus).
Sementara itu, Mohd Uzir berkata, indeks harga simen mencatatkan peningkatan kecil pada Mei 2026, dengan perubahan bulan ke bulan antara 0.2 peratus hingga 2.1 peratus di beberapa kawasan Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
“Perbandingan tahunan untuk tempoh Mei 2025 dan Mei 2026 menunjukkan indeks harga seunit besi telah merekodkan peningkatan antara 1.1 peratus hingga 10.0 peratus bagi kebanyakan kawasan.
“Peningkatan tertinggi bagi indeks harga seunit besi telah dicatatkan di Perak (10.0 peratus), diikuti dengan Johor (6.0 peratus) dan Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan (4.1 peratus),” ujarnya.
Jelasnya, perbandingan tahun ke tahun bagi indeks harga seunit simen pula telah mencatatkan peningkatan antara 1.0 peratus hingga 7.5 peratus pada Mei 2026 berbanding bulan yang sama tahun lalu.
Tambahnya, peningkatan tertinggi dicatatkan di Miri (7.5 peratus), diikuti dengan Kuching (7.4 peratus), Perak dan Pahang (masing-masing 6.9 peratus).
“Selain daripada itu, perbandingan tahunan untuk tempoh Mei 2025 dan Mei 2026 bagi indeks harga seunit pasir pula merekodkan peningkatan antara 1.0 peratus hingga 22.9 peratus bagi semua kawasan.
“Purata harga seunit besi yang terdiri daripada bar bulat keluli lembut dan Mycon 60 high tensile deformed bars mencatatkan peningkatan kecil (0.4 peratus), dengan purata harga RM3,517.50 bagi setiap tan metrik berbanding bulan sebelumnya (April 2026: RM3,504.20 setan),” katanya.
Beliau berkata, purata harga bagi simen Ordinary Portland juga merekodkan peningkatan kecil (0.3 peratus) dengan purata harga RM25.95 bagi 50 kilogram (kg) sekarung berbanding April 2026 (RM25.90 bagi 50 kg sekarung).
“Perbandingan bulanan Indeks Kos Bahan Binaan Bangunan (IKB) termasuk bar keluli mengikut kategori bangunan dan kawasan di Semenanjung Malaysia pada bulan Mei 2026 mencatatkan peningkatan kecil iaitu antara 0.2 peratus hingga 4.6 peratus di kawasan tersebut.
“IKB termasuk bar keluli di Sabah juga menunjukkan peningkatan kecil iaitu 0.1 peratus hingga 1.5 peratus bagi hampir semua kategori bangunan pada Mei 2026 berbanding bulan sebelumnya.
“Dalam pada itu, perbandingan bulan ke bulan IKB termasuk bar keluli di Sarawak juga merekodkan peningkatan antara 0.1 peratus hingga 1.1 peratus bagi semua kategori bangunan,” jelasnya. –UTUSAN




