GEORGE TOWN: Sebuah syarikat yang menjalankan perusahaan berkaitan penghantaran dan pengangkutan barang bersama dua pengarah, didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan gagal mengemukakan dokumen berkaitan kepada pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Syarikat terbabit, Ami Logistics (Penang Sdn. Bhd.) serta dua pengarahnya iaitu Shaik Zamry Shaik Kamal Farid, 61, dan Abdul Mutalib Ismail, 45, selaku orang kena saman (OKS) bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Irwan Suainbon.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa di bawah Seksyen 57(4)(a) Akta Cukai Perkhidmatan 2018 kerana melanggar Seksyen 57(2) akta yang sama iaitu gagal mengemukakan dokumen dikehendaki oleh pegawai kastam.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di JKDM, Cawangan Audit Import dan SST, Kompleks Kastam Seberang Jaya, Jalan Perpustakaan Lebuh Tenggiri 2, Seberang Perai Tengah pada 17 Disember 2024.
Atas kesalahan itu, mereka boleh dihukum di bawah Seksyen 79 akta sama. Sabit kesalahan, mereka boleh didenda sehingga RM30,000 atau penjara tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa JKDM, D. Karthy Gasedev manakala kedua-dua OKS tidak diwakili peguam. Mahkamah menetapkan 21 Julai depan untuk sebutan semula kes. – UTUSAN




