KUALA PILAH: Tunku Zain Al-‘Abidin Tuanku Muhriz dimasyhurkan sebagai penyandang gelaran pusaka Putera Yang Empat, Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan dalam istiadat pemasyhuran yang diadakan di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti di sini hari ini.
Pada istiadat itu, Yang di-Pertuan Besar Negeri Semban, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir berkenan membuat pengisytiharan dan berkenan menyerahkan watikah pelantikan kepada putera kedua baginda itu.
Turut berangkat, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud dan diiringi Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz.
Yang hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dan isteri Datin Seri Wan Hasni Wan Yusof.
Tunku Zain Al-‘Abidin, berkelulusan Ijazah Sarjana Sains (MSc) dalam Politik Perbandingan dari London School of Economics and Political Science.
Beliau pernah bekerja dengan Parlimen United Kingdom, Bank Dunia dan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) dan kini berkhidmat sebagai Canselor Universiti UCSI, Pro-Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), dan Presiden Kolej ICAN.
Selain itu, beliau juga merupakan Felo Diraja di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Felo Bersekutu di Universiti Teknologi MARA (UiTM) serta berperanan sebagai Pemegang Amanah Yayasan Jeffrey Cheah dan penaung Program Seni dan Kebudayaan Sekolah-Sekolah Negeri Sembilan. – UTUSAN




