PETALING JAYA: Kualiti udara di sembilan kawasan di Sarawak berada pada tahap tidak sihat setakat pukul 9 pagi ini.
Menurut data portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS), Kuching merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) paling tinggi, iaitu 167 diikuti Samarahan dan Serian (163), Sarikei dan Bintulu (157), Sri Aman (154), Mukah dan Sibu (151) manakala Samalaju (126).
Sementara itu, sebanyak 46 kawasan merekodkan bacaan IPU pada tahap sederhana (51 hingga 100), manakala 13 kawasan lagi mencatatkan tahap kualiti udara baik (bawah 50).
Bacaan IPU sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara adalah baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat dan IPU melebihi 300, berbahaya.
Data IPU dikeluarkan setiap jam berdasarkan 68 stesen pengawasan kualiti udara di seluruh negara.
Media semalam melaporkan, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Alam Sekitar (JAS), Azuri Azizah Saedon dilaporkan berkata, kemerosotan itu berpunca daripada pergerakan asap jerebu dari pelbagai arah susulan pengesanan titik panas yang ketara di Kalimantan dan Sumatera, Indonesia.
Berdasarkan laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC), imej satelit mengesan 150 titik panas di Kalimantan dan 11 di Sumatera, Indonesia manakala 25 titik panas dikesan di dalam negara, iaitu 22 di Sarawak dan tiga di Sabah. – UTUSAN




