MELAKA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi tumpuan untuk menyelesaikan isu yang dibangkitkan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji sebelum meneliti pula permasalahan yang membelenggu Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).
Perkara itu didedahkan Anwar pada ucapan penggulungan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Kongres Nasional Tahunan PKR 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, hari ini.
Anwar berkata, Seri Paduka Baginda menghubunginya pada awal pagi tadi dan antara perkara yang disentuh ialah keperluan kerajaan menyelesaikan isu-isu berkaitan TH terlebih dahulu sebelum memberi perhatian kepada Felda.
“Pagi-pagi tadi selepas subuh Tuanku Yang di-Pertuan Agong bertitah dengan saya di telefon dan baginda dengar ucapan saya semalam mengenai tentang TH. Baginda kata selesai TH sambung Felda dan sambung agensi-agensi yang ada masalah,” katanya.
Menurut Anwar, beliau turut memaklumkan mengenai tindakan kerajaan meneliti beberapa laporan dan permasalahan melibatkan agensi serta institusi berkaitan, termasuk isu TH yang memerlukan penelitian lanjut.
Katanya, kerajaan tidak akan mengambil mudah sebarang kelemahan yang dikenal pasti, sebaliknya laporan berkaitan akan dibaca, diteliti dan pandangan pihak pengurusan turut diambil kira sebelum tindakan susulan dibuat.
“Kita terima semua, kita baca laporan, kemudian terima dan dapatkan pandangan pengurusan,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan juga mengambil pengajaran daripada pengalaman lalu dalam memastikan segala kelemahan tadbir urus dapat diperbaiki dan tidak berulang.
Tegasnya, usaha pembaharuan itu termasuk meneliti beberapa aktiviti pelaburan serta keputusan pengurusan yang sebelum ini menimbulkan persoalan dan memerlukan penelitian secara menyeluruh.
“Insya-Allah, kita akan melaksanakan perubahan kerana pengalaman kita mengenai TH dan disusuli dengan Felda,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan perlu berani mengambil tindakan terhadap mana-mana agensi yang mempunyai masalah tanpa dipengaruhi kepentingan atau tekanan pihak tertentu.
Katanya, agensi kerajaan tidak seharusnya dianggap kebal daripada penelitian dan tindakan pembetulan sekiranya terdapat kelemahan yang boleh menjejaskan kepentingan rakyat.
Dalam pada itu, Anwar turut menekankan kepentingan memastikan setiap tindakan kerajaan berasaskan fakta dan bukti, bukannya dakwaan politik yang tidak disokong maklumat sahih.
Beliau berkata, terdapat pihak yang membuat pelbagai tuduhan terhadap kerajaan termasuk mendakwa kerajaan tidak adil kepada sesetengah negeri atau kelompok masyarakat, namun dakwaan sedemikian perlu disokong dengan bukti.
“Bukti-bukti ada di mana? Yang tidak adil itu, kenapa berpihak-pihak dalam permasalahan sebesar ini?” katanya.
Anwar berkata, pendekatan kerajaan ialah menyelesaikan masalah satu demi satu secara teratur, termasuk isu yang berkaitan dengan institusi dan agensi penting negara. – UTUSAN






