MELAKA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan tambahan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi setiap kawasan Parlimen bagi melaksanakan projek dan membantu rakyat di kawasan berkenaan.
Anwar yang juga Presiden PKR berkata, peruntukan tambahan itu akan disalurkan secara langsung kepada rakyat di setiap kawasan Parlimen.
“Hari ini saya hendak umumkan untuk setiap kawasan Parlimen, langsung kepada rakyat, saya umumkan tambahan RM1 juta bagi setiap kawasan Parlimen,” katanya ketika ucapan penggulungan pada Kongres Nasional Tahunan PKR di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.
Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan tidak akan mendiskriminasikan rakyat berdasarkan kecenderungan politik atau negeri yang ditadbir pembangkang dalam menyalurkan bantuan dan melaksanakan pembangunan.
Beliau berkata, teguran diterimanya daripada rakan-rakan politik yang mempersoalkan keputusan kerajaan menyalurkan peruntukan kepada Kelantan dan Terengganu meskipun kedua-dua negeri berkenaan tidak ditadbir kerajaan Persekutuan.
“Sebenarnya rakan saya di Kedah, Kelantan dan Terengganu dalam parti banyak tegur saya. Banyak rakan-rakan UMNO tegur, mereka kata Anwar, ini dasar yang salah. Mengapa bantu walaupun di peringkat negeri bekerjasama dengan mereka tetapi mereka tidak setuju saya lulus peruntukan kepada Kelantan dan Terengganu.
“Tetapi saya jawab, saya pikul amanah. Orang miskin saya janji hendak bantu. Kalau masalah tiap-tiap tahun selama puluhan tahun mereka terkesan dengan banjir, saya tak selesa jadi Perdana Menteri biar negeri mereka musnah, harta benda dan kampung-kampung miskin kena banjir,” katanya.
Anwar berkata, kerajaan turut melaksanakan projek keperluan asas di negeri berkenaan termasuk bekalan air, elektrik, jambatan dan projek tebatan banjir.
Katanya, peruntukan kepada negeri-negeri terbabit turut mencapai jumlah tertinggi dalam sejarah pentadbiran Kerajaan Madani
“Di bawah pentadbiran Madani Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah mendapat peruntukan tertinggi dalam sejarah. Semua projek-projek yang mendesak, air, elektrik, jambatan, banjir kita laksanakan dan kita luluskan,” katanya.
Mengenai Kedah, Anwar berkata, kerajaan turut menyediakan hampir RM4 bilion menerusi projek berkaitan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), dengan kira-kira RM1 bilion sudah mula dibelanjakan.
Beliau berkata, bantuan itu diberikan bagi memastikan kebajikan dan kehidupan pesawah terbela tanpa mengambil kira sokongan politik mereka.
“MADA hampir RM4 bilion, RM1 bilion sudah mula dibelanjakan untuk Kedah. Kerana saya fikirkan pesawah padi.
“Dia kata pesawah padi bukan penyokong kamu. Saya kata itu soal kedua. Yang pertama nasib dan hidup mereka, derita mereka saya tak boleh terima. Kerana kita pegang kuasa, kita laksanakan amanah itu,” katanya. – UTUSAN






