MELAKA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan hubungan beliau dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tidak baik, sebaliknya menegaskan kerjasama di peringkat nasional dalam Kerajaan Perpaduan masih berada dalam keadaan baik.
Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, perbezaan pandangan atau sedikit perselisihan di peringkat negeri adalah perkara biasa dan tidak seharusnya dianggap menjejaskan hubungan di peringkat nasional.
“Ada gaduh. Peringkat negeri ada sikit, biasalah. Ini pandangan peribadi dan memang dia selalu lihat dari segi cara gaduh. Saya lihat cara damai. Itu berbeza. Tapi masih baik.
“Dia jalur gaduh, saya jalur damai,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan ucapan dasar Presiden dan merasmikan Kongres Nasional PKR 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas dakwaan hubungannya dengan Ahmad Zahid tidak baik serta isu dalaman PKR Negeri Sembilan.
Anwar berkata, beliau memilih pendekatan damai dalam menangani sebarang perbezaan berbanding pendekatan konfrontasi.
Anwar turut mengulangi penghargaan kepada Ahmad Zahid dan UMNO atas peranan mereka dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan pada peringkat awal sewaktu menyampaikan ucapan dasar Presiden.
“Sebab itu tadi saya ucap terima kasih dalam ucapan saya tentang peranan Datuk Seri Zahid dan UMNO serta seluruh kepimpinan dalam memeterai Kerajaan Perpaduan pada peringkat awal,” katanya.
Katanya, perbezaan pendapat antara parti atau pemimpin adalah perkara biasa dalam politik dan boleh diselesaikan melalui perbincangan.
Beliau berkata, pendekatan rundingan dan damai perlu terus diutamakan bagi memastikan kestabilan Kerajaan Perpaduan dapat dipertahankan.
Ditanya mengenai dakwaan enam cabang PKR Negeri Sembilan menghantar surat mendesak Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga Pengerusi PKR negeri, Datuk Seri Aminuddin Harun meletakkan jawatan, Anwar berkata, perkara itu boleh dibincangkan.
Katanya, beliau belum menerima surat berkenaan secara rasmi, namun sudah dimaklumkan mengenai kewujudannya.
“Dah ada surat? Biasalah, surat biasa tapi sehingga kini saya belum dimaklumkan. Tak ada masalah. Kita boleh bincang,” katanya. – UTUSAN





