MELAKA: Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan penghargaan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi atas tekadnya untuk bersama-sama membentuk Kerajaan Perpaduan.
Perdana Menteri turut menzahirkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta pimpinan-pimpinan Sabah atas kesediaan mereka menyokong pembentukan kerajaan berkenaan.
Anwar yang juga Presiden PKR berkata, meskipun terdapat perbezaan pandangan antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan, semua pihak perlu memahami bahawa perubahan perlu dilaksanakan secara berperingkat.
“Kita mengambil keputusan untuk bersama UMNO dan saya mengucapkan terima kasih serta penghargaan kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri dan Presiden UMNO, yang bertekad untuk bersama.
“Ada pihak yang mendesak semua perubahan dilakukan sekali gus, sedangkan ketika mereka berkuasa dahulu, perkara itu juga tidak dilaksanakan.
“Kita bukan kerajaan yang memerintah bersendirian. Kita perlu berunding. Keutamaan di Kelantan tidak semestinya sama dengan keutamaan di Sabah.
“Keperluan rakyat Melayu juga tidak semestinya sama sepenuhnya dengan masyarakat Cina, India, Orang Asli atau kelompok lain. Kita mesti memahami keadaan rakyat di Kelantan, Sabah, Sarawak, Negeri Sembilan dan Melaka,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden pada Kongres Nasional Tahunan PKR di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.
Anwar berkata, Kerajaan Perpaduan perlu menentukan keutamaan dalam melaksanakan agenda reformasi tanpa mengabaikan kestabilan politik, keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.
Katanya, kerajaan tidak boleh bertindak secara terburu-buru kerana setiap perubahan memerlukan rundingan dan persetujuan daripada semua parti yang membentuk kerajaan.
Beliau mengambil contoh pendekatan Khalifah Umar Abdul Aziz yang tidak melaksanakan semua perubahan secara serentak, meskipun mempunyai tekad untuk membanteras keburukan dan menegakkan keadilan.
“Kegopohan untuk membuat semua perubahan boleh menyebabkan kita kehilangan keupayaan untuk melaksanakannya.
“Ada keutamaan di Kelantan yang tidak sama dengan keutamaan di Sabah. Ada juga keperluan untuk melakukan perubahan strategik bagi seluruh kehidupan rakyat,” katanya.
Bagaimanapun, Anwar berkata, pendekatan secara berperingkat bukan bermakna kerajaan mahu melengahkan reformasi, sebaliknya memastikan setiap perubahan dapat dilaksanakan secara berkesan.
Katanya, beberapa pembaharuan telah dilaksanakan sepanjang tiga tahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan, namun masih terdapat banyak perkara yang perlu diselesaikan.
“Adakah semuanya sudah selesai? Tidak. Masih ada ratusan perubahan yang perlu dilakukan.
“Saya tidak mempertahankan semua yang kita lakukan. Saya akui masih ada kekurangan,” katanya. – UTUSAN





