KEPALA BATAS : Syarikat amanah berdaftar, as-Salihin Trustee Berhad komited untuk terus menawarkan perkhidmatan terbaik khususnya dalam perancangan harta pusaka Islam menerusi pembukaan pejabat Wilayah Utara syarikat itu yang baharu di sini.
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif as-Salihin Trustee, Abdul Aziz Peru Mohamed berkata, pembukaan pejabat baharu itu dibuat bagi menggantikan pejabat lama yang terletak di Seberang Jaya sebelum ini.
“Di sini (pejabat cawangan), kita hanya buat kerja-kerja pemasaran sahaja kerana soal wasiat ini semua kena buat secara fizikal. Tak boleh guna digital. Kerja-kerja lain pula akan dibuat di ibu pejabat guna sistem dalam talian,” katanya.
Beliau ditemui Nexbyte selepas pembukaan pejabat baharu itu yang disempurnakan oleh Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar. Hadir sama Pengerusi as-Salihin Trustee Berhad, Datuk Dr. Ashar Abdullah.
Selain ibu pejabat di Petaling Jaya, Selangor serta pejabat Wilayah Utara itu, as-Salihin Trustee juga memiliki beberapa pejabat lain ketika ini termasuk di Kelantan iaitu pejabat Wilayah Kelantan dan Terengganu Utara.
Selain itu, syarikat tersebut juga mempunyai cawangan di Pahang iaitu pejabat Wilayah Pahang dan Terengganu Selatan, Johor (pejabat Wilayah Selatan) serta Perak iaitu pejabat Wilayah Perak.
Mengulas lanjut, Abdul Aziz berharap agar umat Islam khususnya akan memanfaatkan kemudahan pejabat cawangan syarikat itu bagi mendapatkan ilmu serta penerangan yang tepat mengenai pengurusan harta pusaka Islam dan sebagainya.
“Insya-Allah, pembukaan pejabat baharu ini juga akan memperkukuhkan kedudukan as-Salihin Trustee sebagai antara syarikat amanah berdaftar yang diyakini di negara ini,” ujar beliau.
Terdahulu, Dr. Ashar ketika berucap sempena majlis itu berkata, Lembaga Pengarah syarikat akan terus memberikan sokongan terhadap usaha pihak pengurusan dalam memperkukuhkan modal insan, meningkatkan kompetensi, memanfaatkan teknologi, serta menambah baik proses kerja dan pengalaman pelanggan.
“Sebagai Pengerusi, harapan saya adalah untuk melihat cawangan di Wilayah Utara ini tidak sekadar menjadi sebuah pusat yang menjalankan urusan harian, tetapi, berkembang sebagai pusat ilmu, pusat rujukan, dan pusat pengurusan yang mampu memberi kesan positif kepada masyarakat sekeliling,” katanya.-UTUSAN






