ALOR SETAR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang awak-awak warga Thailand yang dikhuatiri terjatuh ke laut, kelmarin.
Mangsa dikenali sebagai Nattapong Phakhokthom dipercayai terjatuh ketika menjalankan aktiviti menarik pukat di kedudukan 27 batu nautika barat Tanjung Dawai, dekat sini.
Pengarah Maritim Zon Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Zon Kuala Kedah menerima maklumat berhubung kejadian itu pada pukul 4.23 petang, semalam.
“Susulan laporan polis yang dibuat pemilik bot, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi mengaktifkan operasi SAR pada pukul 5 petang semalam.
“Bot PERKASA 1226 dari Ibu Pejabat Maritim Zon Kuala Kedah turut digerakkan ke lokasi bagi melaksanakan pencarian awal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, operasi terpaksa dihentikan sementara berikutan keadaan cuaca buruk dan laut bergelora yang boleh menjejaskan keselamatan anggota serta aset yang terbabit.
Noor Azreyanti berkata, operasi pencarian disambung semula sebaik keadaan cuaca mengizinkan.
Katanya, Maritim Malaysia akan terus memantau perkembangan operasi dan menyalurkan maklumat terkini dari semasa ke semasa.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Zon Kuala Kedah di talian 04-731 0579 atau talian kecemasan 999 bagi membolehkan tindakan segera diambil. – UTUSAN






