PETALING JAYA: Pelakon, Syafie Naswip, 34, mengakui bahawa ada sebabnya kenapa dia menerima tawaran untuk beraksi dalam filem Gayong 2 yang merekodkan jumlah kutipan sebanyak RM3.26 juta.
Menulis dalam platform Thread, Muhammad Syafie Naswip berkata hal tersebut kerana dia berpeluang berkongsi layar bersama pelakon disegani, Beto Kusyairi.
Momen itu katanya akan dia abadikan sebagai momen paling indah sepanjang pembabitan dalam bidang lakonan.
“Satu sebab kenapa saya buat Gayong kerana saya nak ada satu momen kekal sebagai pelakon untuk saya abadikan dalam kerja saya.
“Berkongsi babak berat ini dengan abangku merupakan hadiah terindah sepanjang tempoh perkenalan kami. Alhamdulillah, satu-satunya Beto Kusyairi,” katanya.
Gayong 2, yang dihasilkan dengan kos pembikinan RM12 juta, telah diarahkan oleh sutradara tersohor, Faizal Ishak.
Filem itu mengangkat semangat perjuangan pengasas silat Gayong negara, Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman sebagai pegawai CID selepas perang dunia kedua.
Turut membintangi filem itu adalah Nabila Huda, Sandra Lim, Yayan Ruhian dan ramai lagi.
Selepas kejayaan seluruh negara, Gayong 2 sejak 30 Julai lepas boleh ditonton menerusi platform Netflix.-UTUSAN





