PETALING JAYA: Pelakon, Ammar Alfian, bertindak mempertahankan pemilihan pelakon dan penyanyi, Aliff Aziz, yang memegang watak Sultan Mansur Syah dalam pementasan teater muzikal Mansur dan Liu, baru-baru ini.
Ammar atau Ammar Alfian Aziz Mohd Zakri, 39, berkata, isu pemilihan itu tidak sepatutnya timbul kerana penilaian perlu dibuat bersandarkan bakat serta kebolehan Aliff Aziz sendiri dan bukannya disebabkan kesilapan lalu.
“Saya seorang pelakon tempatan dan saya tidak kisah dengan perkara itu. Biarlah rezeki masing-masing.
“Hanya sebab dia pernah buat silap dulu, tidak bermaksud dia tidak berubah atau tidak akan berubah. Kita cakap macam ini seolah-olah kita ini terlalu sempurna dan hebat sangat,” katanya menerusi satu hantaran di Threads miliknya.
Pertikaian terhadap pemilihan Aliff timbul berikutan kontroversi peribadi yang pernah melanda pelakon kelahiran Singapura itu hingga menyebabkan kelayakannya membawakan watak tokoh sejarah dipersoal.
Dalam pada itu, Ammar yang enggan berdiam diri menasihati penonton dan pengguna media sosial agar lebih fokus untuk perbaiki diri daripada terus campur tangan dalam urusan orang lain.
“Tengok diri sendiri daripada sibuk tengok dan jaga hal orang lain. Hidup ini hanyalah sementara.
“Jangan meroyan dan merentan mengenai kehidupan orang lain. Jangan jadi dengki tapi jadilah orang yang lebih baik,” katanya.
Untuk rekod, teater muzikal sulung arahan M Nasir itu turut membariskan pelakon seperti Melinda Dadew, Amerul Affendi, Sherry Alhadad, Hazama, Taqim Zaki, Brian Chan, Fadhli Masoot, Anas Ridzuan, Arena Wan, Ruzana Ibrahim, Fiza Thomas, Taufiq Izmir, Marzuki Noh dan Shahrul Mizad.
Dipentaskan Roman Abadi bersama Icon Entertainment, Teater Muzikal Mansur & Liu bakal mempersembahkan 30 lagu dan skor muzik asli ciptaan M Nasir.





