TUMPAT: Tindakan nekad seorang wanita mengumpil besi tingkap bilik berjaya menyelamatkan adiknya yang lumpuh daripada rentung selepas rumah mereka terbakar di Kampung Kubu, Telaga Bata, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, Muhammad Fazli Mustafa, 35, yang lumpuh separuh badan melecur di bahagian perut selain mengalami sesak nafas sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk rawatan.
Kakaknya, Siti Nor Azizan Mustafa, 40, berkata, ketika kejadian dia sedang tidur sebelum menyedari sesuatu yang tidak kena berlaku di rumahnya.
Katanya, dia kemudian bangun dan pergi ke sebuah bilik yang dijadikan ruang solat sebelum mendapati bilik berkenaan sudah terbakar.
“Sebaik sahaja membuka pintu, saya dapati bilik tersebut sudah terbakar. Saya menjerit sekuat hati meminta pertolongan dan jeritan itu didengari suami, ibu serta ayah.
“Dalam keadaan panik, ibu terus menyelamatkan ayah dengan membawanya keluar menggunakan kerusi roda,” katanya ketika ditemui semalam.
Katanya, ketika mahu mengalihkan kereta dari garaj, dia terdengar suara adiknya meminta pertolongan dari dalam rumah.
Tanpa berlengah, dia menggunakan sebatang kayu untuk mengumpil besi tingkap bilik sebelum menarik adiknya keluar.
“Syukur dapat menyelamatkannya daripada rentung walaupun saya mengalami sedikit kecederaan. Suami saya, Muhamad Talmizi Razali, 41, turut melecur di bahagian belakang dan kaki ketika cuba menyelamatkan adik,” katanya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Kubor, Mohd. Zamri Omar berkata, kebakaran membabitkan sebuah rumah separuh kekal dengan kemusnahan kira-kira 70 peratus.
Katanya, punca kebakaran masih dalam siasatan.- UTUSAN






