PUTRAJAYA: Kerajaan bersedia untuk mempertimbang teknologi baharu sistem pemeriksaan bagasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi memperkukuh pengesanan barangan kontraban susulan insiden penyeludupan yang berlaku baru-baru ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, semakan itu dibuat selepas didapati fokus pemeriksaan ketika ini lebih tertumpu kepada ancaman keselamatan seperti senjata api, bahan letupan dan senjata tajam berbanding pengesanan kontraban.
Beliau berkata, insiden yang berlaku baru-baru ini melibatkan kontraban dan bukan berpunca daripada kekurangan keupayaan mesin pengimbas.
“Kami telah diberi taklimat oleh Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dan mesin pengimbas yang digunakan mempunyai keupayaan untuk mengesan semua perkara tersebut.
“Namun dari sudut skop pemeriksaan, tumpuan lebih diberikan kepada elemen persenjataan,” katanya ketika ditemui pada majlis pelepasan Konvoi Jelajah Star City FC di sini, hari ini.
Katanya, pemeriksaan bagasi di KLIA ketika ini dikendalikan oleh Aviation Security (AVSEC) dan Polis Bantuan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) mengikut piawaian ditetapkan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).
Saifuddin berkata, fokus utama pemeriksaan selama ini lebih tertumpu kepada ancaman keselamatan seperti senjata api, bahan letupan dan senjata tajam berbanding pengesanan barangan kontraban.
“Daripada taklimat yang diberikan kepada saya, mesin pengimbas sedia ada mempunyai keupayaan tinggi untuk mengesan pelbagai objek.
“Isunya bukan pada kemampuan mesin tetapi skop dan keutamaan pemeriksaan yang lebih menumpukan elemen persenjataan. Oleh itu, aspek pengesanan kontraban akan turut diteliti dalam pelan penambahbaikan ini,” katanya.
Katanya, kerajaan tidak akan berpuas hati dengan sistem sedia ada dan akan meneliti penggunaan teknologi baharu yang lebih canggih sekiranya diperlukan.
Jelasnya lagi, insiden berkenaan perlu ditangani secara serius kerana melibatkan imej negara, keselamatan sempadan serta keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap sistem keselamatan lapangan terbang Malaysia.
“Kita akan melihat secara menyeluruh di mana punca kelemahan berlaku dan bagaimana langkah segera boleh diambil untuk menanganinya,” katanya.
Pada masa sama, Saifuddin turut mengesahkan, beliau akan mempengerusikan mesyuarat khas melibatkan kepimpinan tertinggi KDN esok bagi memperincikan pelan konprehensif penambahbaikan bagi mengelak insiden sama berulang.-UTUSAN






