PETALING JAYA: Beregu lelaki negara, Tee Kai Wun-Yap Roy King dinobatkan selaku juara pada Kejohanan Badminton Korea Masters di Asan, Korea Selatan, hari ini.
Kai Wun-Roy King yang merupakan antara pasangan dipecah ganding menundukkan rakan senegara Man Wei Chong-Soh Wooi Yik pada perlawanan akhir 21-13, 21-18 dalam masa 31 minit.
Gandingan yang kini menghuni ranking ke-282 dunia itu menjulang gelaran pertama sejak dipasangkan bersama oleh ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi.
Selaku juara kejohanan berstatus Super 300 itu, Kai Wun-Roy King membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak AS$19,750 (RM80,779) beserta pingat emas.
Wei Chong-Wooi Yik pula yang muncul sebagai naib juara, memenangi hadiah wang tunai sebanyak AS$9,500 (RM38,855) beserta pingat perak.
Selepas ini, kedua-dua beregu tersebut bakal mengalihkan fokus masing-masing kepada Kejohanan Badminton Dunia di New Delhi, India yang bermula 17-23 Ogos ini.
Bagaimanapun, baik Kai Wun-Roy King mahupun Wei Chong-Wooi Yik bakal bergandingan semula dengan pasangan lama disebabkan ranking dunia masing-masing yang melayakkkan mereka beraksi pada kejohanan berprestij itu.
Kai Wun akan berpasangan semula dengan Wei Chong, manakala, Wooi Yik bergandingan dengan Aaron Chia dan Roy King bersama Arif Junaidi. – UTUSAN






